Polis nafi bertindak kasar, sengaja gari wanita Indonesia
BUTTERWORTH - Polis menafikan dakwaan bertindak kasar dan sengaja menggari seorang wanita warga Indonesia yang bekerja di sebuah restoran menjual dim sum di Jalan Raja Uda di sini dalam Ops Bersepadu Khas Rabu lalu.
Sebaliknya tindakan itu terpaksa dibuat selepas wanita berusia 46 tahun terbabit bertindak agresif dan cuba melarikan diri ketika pemeriksaan dilakukan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, video yang tular di media sosial sejak Sabtu itu kononnya pihak polis bertindak kasar terhadap wanita itu sebenarnya disalah tafsir sehingga mengundang kecaman warga net.
Menurutnya, semasa proses menahannya, wanita itu bertindak agresif dengan menjerit ke arah polis malah cuba melarikan diri kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan diri.
"Wanita Indonesia itu pada mulanya melarikan diri ketika serbuan di restoran tersebut namun berjaya ditahan penguatkuasa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang mengejarnya kira-kira 100 meter dan dibawa semula ke premis tempatnya bekerja namun dia meronta-ronta termasuk membaling apron dipakainya ke arah polis.
"Ketika diminta memberi kerjasama dia bertindak cuba melarikan diri sekali lagi termasuk merempuh polis serta penguatkuasa yang berada di situ, sebab itu kami menggarinya, namun tidak berlaku sebarang kekerasan ke atasnya sebaliknya semua mengikut prosedur operasi standard (SOP)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Noorzainy berkata, Ops Bersepadu Khas itu dijalankan dengan kerjasama MBSP, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di kawasan terbuka serta terdapat pelanggan lain di restoran tersebut semasa kejadian berkenaan.
Katanya, adalah mustahil pihak polis boleh bertindak kasar seperti didakwa pihak yang memuat naik video semasa insiden itu.
Beliau berkata, selain wanita itu, polis turut menahan empat lelaki warga Myanmar berusia 21 hingga 36 yang juga rakan sekerja wanita tersebut kerana tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri serta lelaki tempatan berumur 29 tahun yang merupakan majikan mereka untuk siasatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!