Pembangkang cadang pakaian bebas di sekolah tahun ini
KUALA LUMPUR - Beberapa ahli Parlimen pembangkang pada Ahad menyarankan supaya guru dan kakitangan sekolah wajib diberikan keutamaan menerima suntikan vaksin Covid-19 sama seperti petugas barisan hadapan yang lain.
Ahli Parlimen berkenaan ialah Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Teo Nie Ching (Kulai), Datuk Dr Hasan Baharom (Tampin), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Amiruddin Hamzah (Kubang) dan Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud).
Perkara tersebut merupakan antara lima cadangan yang dikemukakan tujuh ahli Parlimen pembangkang itu dalam kenyataan bersama hari ini, susulan pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai pembukaan semula sesi persekolahan yang dijadualkan bermula awal Mac ini.
Cadangan lain termasuk meminta KPM memberikan kelonggaran terhadap isu pakaian rasmi sekolah bagi tahun ini dan mengukuhkan sistem pembelajaran berasaskan teknologi di dalam atau di luar bilik darjah.
“Ramai ibu bapa terbeban dengan pandemik Covid-19 dan berbelanja besar untuk pendidikan anak-anak.
"Maka, kelonggaran berpakaian bebas harus diberikan sekurang-kurangnya untuk tahun ini memandangkan ada kebarangkalian sekolah akan ditutup kembali jika PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan semula,” menurut Ahli Parlimen pembangkang itu.
Pada Jumaat, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengumumkan sesi persekolahan bagi murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua di sekolah rendah seluruh negara akan bermula 1 Mac, manakala persekolahan murid Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam pada 8 Mac.
Selain itu pelajar kolej vokasional bagi Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Tahun Satu Semester Dua dan Diploma Vokasional Malaysia Tahun Satu Semester Dua juga akan hadir ke institusi masing-masing pada 1 Mac. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!