Muhyiddin beri kata semangat kepada calon SPM
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi kata-kata semangat kepada calon-calon pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Isnin.
Beliau turut mendoakan semua calon diberikan kesihatan yang baik serta dipermudahkan untuk menjawab soalan peperiksaan.
“Selamat maju jaya saya ucapkan kepada para pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula esok.
“Walaupun pandemik Covid-19 memberi kesan kepada pembelajaran anda, namun saya yakin semangat untuk berjaya dan dedikasi para guru dalam menyampaikan ilmu mampu menyuntik semangat untuk melakukan yang terbaik dalam peperiksaan ini.
“Kepada semua calon, jagalah kesihatan dan jawablah soalan dengan tenang. Kepada guru dan ibu bapa, semoga didikan dan doa anda semua mengiringi kejayaan pelajar-pelajar kita. Insya - ALLAH,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Ahad.
Pada 8 November lepas, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meminda tarikh peperiksaan SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) ke 22 Februari tahun ini.
Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata, peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula akan bermula pada 8 Mac depan.
Menurutnya, pindaan tarikh itu melibatkan keseluruhan seramai 524,718 pelajar membabitkan 400,445 calon SPM, 92,964 (STPM), 23,313 (SVM) dan 7,996 (STAM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!