Padah buat aksi 'Superman' di lebuh raya
KUALA LUMPUR - Seorang penghantar makanan antara lima individu ditahan dalam Ops Samseng Jalanan yang dijalankan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) pada Ahad.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kesemua individu itu ditahan kerana melakukan aksi-aksi merbahaya ketika menunggang motosikal.
"Operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur antara jam 12.01 pagi hingga 4 pagi itu berjaya menahan lima individu berumur antara 17 hingga 21 tahun.
"Mereka ditahan setelah didapati melakukan aksi Superman," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, tiga individu yang ditahan didapati tidak memiliki lesen memandu yang sah.
"Antara yang ditahan adalah penghantar makanan, pelajar, pencuci kereta dan peniaga.
"Semua suspek yang ditahan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!