Ebit Lew jadi inspirasi Shuib
KUALA KANGSAR - Pelakon dan pelawak, Shuib menjadikan pendakwah bebas, Ebit Lew sebagai sumber inspirasi dalam usahanya membantu golongan tidak berkemampuan.
Beliau berkata, sikap baik dan murni dilakukan usahawan terkenal itu adalah teladan terbaik bagi dirinya yang memiliki perniagaan minuman Bubble Bee untuk berbahagi rezeki bersama insan lain yang memerlukan.
"Saya suka tengok cara Ustaz Ebit Lew, macam mana seronoknya beliau buat apa yang beliau sedang lakukan sekarang, walaupun ada orang cakap macam-macam kepadanya sebelum ini.
"Bagi saya, kalau beliau tak buat, siapa nak buat sedangkan kita pun tahu tidak semua orang bernasib baik, jadi mana-mana yang berada di atas kena bantulah mereka yang di bawah.
"Memandangkan saya ada perniagaan dan ramai pula yang menyokong (perniagaan), apalah salahnya saya kembalikan kepada komuniti," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran Bubble Bee ke-33 di Kuala Kangsar, di sini pada Ahad.
Menurutnya, produk minuman berasaskan air boba madu lebah yang telah bertapak sejak lebih setahun itu mendapat sambutan baik dan telah menerima permintaan tinggi bagi pembukaan outlet baharu di seluruh negara.
"Kita rasa bersyukur sangat kerana komuniti selalu beri sokongan luar biasa kepada Bubble Bee, kerana itu kita kena kembalikan kepada komuniti. Bak kata orang jangan makan seorang, berkongsi ramai-ramai itu lebih baik," katanya.
Minggu lalu, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad bersama isteri yang juga selebriti popular, Siti Sarah tampil membantu membina rumah baharu buat dua keluarga yang tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman didiami di Kampung Alor Bakat, Bachok, Kelantan musnah terbakar.
Pasangan itu juga aktif dalam misi bantuan kepada mangsa banjir di Pahang yang disalurkan menerusi Yayasan Bubble Bee.
Shuib berkata, yayasan berkenaan masih dalam proses pendaftaran, namun program kebajikan masyarakat (CSR) telah digerakkan lebih awal termasuk menyalurkan dana kepada badan-badan tertentu.
"Idea penubuhan yayasan ini sudah lama sejak Bubble Bee dibuka. Kami terpanggil untuk menubuhkannya pun setelah tertarik dengan usaha Ebit Lew yang tidak pernah jemu membantu masyarakat," katanya.
Sementara itu beliau berkata, selepas Kuala Kangsar, beberapa cawangan lagi akan dibuka di lokasi-lokasi lain selaras dengan sasaran pihaknya untuk membuka 100 cawangan di seluruh negara.
Katanya, pembukaan semua cawangan baharu itu nanti diharap dapat membantu menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan yang kehilangan pekerjaan disebabkan pandemik Covid-19.
"Ini usaha kecil kami dengan purata setiap cawangan mempunyai 20 kakitangan, Insya-ALLAH ia sedikit sebanyak boleh membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka," katanya yang turut berhasrat menembusi pasaran Sabah dan Sarawak tahun hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!