Kee Yew alami pendarahan otak sebelah kiri

No Image Caption
A
A
A

SIBU - Bekas timbalan pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (SMC), Datuk Andrew Wong Kee Yew yang meninggal dunia pada Ahad didapati mengalami pendarahan otak sebelah kiri.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sibu pada 2.59 petang semalam itu turut mendapati ada kesan pendarahan di esofagus (saluran makanan) dan bahagian perut mendiang.

“Bagaimanapun punca kematian sebenar belum dapat dipastikan kerana masih menunggu laporan lanjut daripada makmal Hospital Sibu,” katanya.

Polis semalam mengklasifikasikan kematian Kee Yew, 43, sebagai kematian mengejut.

Kee Yew yang merupakan anak lelaki Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh dijumpai terbaring tidak sedarkan diri di lantai bilik persalinan bilik tidur oleh ibunya Datin Seri Leong Poh Lin malam kelmarin.

Pihak perubatan yang dipanggil cuba untuk memulihkan mendiang namun gagal dan mengesahkan mendiang meninggal dunia pada 11 malam.

Kee Yew bertanding sebagai calon BN bagi Parlimen Sibu dalam PRU14 pada Mei tahun lepas.

Beliau yang memperoleh 22,389 undi tewas kepada penyandang, Oscar Ling daripada DAP, yang meraih 33,811 undi dalam pertandingan empat penjuru. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!