Simbolik guna penyepit
MASYARAKAT Cina di Malaysia baru sahaja menyambut Tahun Baharu Cina walaupun dalam keadaan norma baharu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kita biasa melihat masyarakat Cina menggunakan penyepit ketika acara menggaul ‘yee sang’ atau ketika menikmati makan malam bersama keluarga pada malam tahun baharu.
Masyarakat Cina di Kelantan terutama Cina Peranakan jarang menggunakan penyepit ketika makan. Mereka lebih selesa menggunakan tangan, mungkin sebab lebih senang untuk mengambil ulam-ulaman seperti petai, jering dan kerdas untuk dicicah dengan budu. Penyepit biasanya hanya digunakan untuk makan bihun atau kuetiau. Ada juga yang menggunakan sudu dan garpu.
Baru-baru ini sahabat saya telah berkongsi simbolik daripada penggunaan penyepit yang telah digunakan oleh masyarakat Cina sejak 5,000 tahun dahulu.
Penyepit sifatnya berpasang seperti ‘yin dan yang’, saling melengkapi bagi membentuk satu sistem yang dinamik. Konsep ‘yin dan yang’ menggambarkan bahawa segala sesuatu dalam alam semesta mempunyai aspek yang berlawanan. Ada putih dan ada hitam. Ada baik, ada buruk. Ada sejuk, ada panas. Ada siang, ada malam. Begitu juga ada syurga dan ada neraka.
Konsep ‘yin dan yang’ digunakan untuk menggambarkan bagaimana pertentangan atau kuasa-kuasa yang bertentangan adalah mutlak dan saling bergantung antara satu sama lain secara semula jadi serta saling berkaitan.
‘Yin dan yang’ walaupun sentiasa bertentangan antara satu sama lain, bersikap saling melengkapi. Ia demi membentuk satu sistem yang dinamik. Sebagai contoh, bayang tidak boleh wujud tanpa cahaya. Begitu juga berbezanya lelaki dan perempuan, namun perlu bersama bagi mewujudkan generasi baharu.
Konsep yang sama juga wujud dalam Islam. ALLAH SWT jelas memberi isyarat kepada kita bahawa segalanya selalu ditetapkan secara ‘tawazun’ atau seimbang iaitu dengan diciptakan setiap sesuatu secara berpasang-pasang. Ada dingin ada panas, ada siang ada juga malam, ada musim hujan ada musim kemarau, dan lain-lain.
ALLAH SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Maha suci (ALLAH) yang telah menciptakan semuanya berpasang-pasangan, baik daripada apa yang telah ditumbuhkan oleh bumi dan daripada diri mereka sendiri mahu pun daripada apa yang tidak mereka ketahui. Dan suatu tanda kebesaran ALLAH bagi mereka adalah malam, kami tanggalkan siang dari (malam) itu, maka seketika itu mereka (berada dalam) kegelapan.” (surah Yasin: ayat 36–37)
Begitulah sifat penyepit yang saling melengkapi. Menggunakan penyepit juga memerlukan kemahiran. Sebagai contoh, jika telur puyuh rebus dikepit dengan terlalu keras, ia akan menggelincir jatuh daripada penyepit. Jika terlalu lembut, ia tidak dapat diangkat pula. Maka, semuanya memerlukan kesederhanaan.
Dalam Islam, kita juga perlu bersederhana dalam kehidupan sebagaimana yang dianjurkan melalui konsep wasatiyyah (kesederhanaan dan keseimbangan). Namun, masih ramai yang tidak menyedari peranan wasatiyyah bagi memastikan keharmonian dan kestabilan kehidupan terutama dalam konteks masyarakat yang berbilang bangsa dan agama.
Sebagaimana dua batang penyepit diperlukan untuk mengambil makanan, begitulah juga dalam hidup. Kita pasti akan memerlukan orang lain. Hebat macam mana pun manusia itu, dia masih memerlukan orang lain untuk menguruskan jenazahnya apabila sudah meninggal dunia.
Semoga dalam hidup ini, kita akan sederhana dan seimbang sebagaimana sifat penyepit agar kita bukan sahaja berjaya di dunia tetapi turut berjaya di akhirat.
Penyepit sifatnya berpasang seperti ‘yin dan yang’, saling melengkapi.
* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!