'Pemimpin tertinggi parti sepatutnya ada jawatan dalam kerajaan'
SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan pemimpin tertinggi parti yang membentuk kerajaan sepatutnya mestilah menjadi sebahagian daripada pucuk pimpinan kerajaan.
Beliau berkata, ini kerana parti politik yang dipimpinnya itu mendokong kerajaan.
“(Tetapi) apabila lemparan tuduhan yang sengaja direka oleh pemimpin sebelum itu dan diteruskan pemimpin yang ada sekarang saya harus menghadapi perkara ini.
“Biarlah saya mahu membersihkan nama saya dan tentunya tuduhan ini adalah tuduhan politik,” katanya menerusi satu wawancara hati ke hati bersama Presiden UMNO yang disiarkan di Malaysiapost pada Ahad.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beliau yang berjawatan Presiden UMNO tetapi tidak diberikan sebarang jawatan dalam kerajaan.
Dakwa Ahmad Zahid, sekiranya membaca buku tulisan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas ‘My Story: Justice in The Wilderness’, jelas memperlihatkan bahawa pertuduhan yang dikenakan adalah direka untuk mengaib dan meruntuhkan bukan sahaja individu tetapi organisasi atau parti politik yang diketuainya.
“Itu jelas. Walaupun tidak disebut secara nyata, tetapi ianya tersirat dalam tulisannya. Kalau saya salah, sila buat laporan polis dan sila siasat saya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!