LHDN nafi ada kaitan dengan 'Dana 7 Amanah LHDN'
PUTRAJAYA - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini menafikan mempunyai kaitan dan kepentingan dengan program ‘Dana 7 Amanah LHDN’ yang diperkenalkan oleh Yayasan Amal Maaruf Malaysia seperti yang dilaporkan di media semalam (11 Feb).
LHDN dalam kenyataannya hari ini turut menggesa Yayasan Amal Maaruf Malaysia untuk membuat penjelasan segera mengenai perkara itu bagi mengelakkan salah tanggapan di kalangan orang ramai.
"LHDN adalah agensi yang bertindak membuat penilaian dan memberikan kelulusan terhadap sebarang permohonan mana-mana institusi, organisasi atau tabung yang memohon pengecualian cukai di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967," katanya.
Menurut LHDN, kelulusan pengecualian cukai di bawah subseksyen itu hanya diberikan kepada institusi, organisasi atau tabung yang memenuhi syarat-syarat seperti yang terkandung dalam garis panduan teknikal bertajuk Garis Panduan Bagi Permohonan Untuk Kelulusan Di Bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Senarai institusi, organisasi atau tabung yang telah diberikan kelulusan boleh disemak melalui portal rasmi www.hasil.gov.my > Lain-lain > S.S 44(6) DERMA, katanya.
Kenyataan LHDNM hari ini merujuk kepada laporan media bertajuk ‘Yayasan Amal Maaruf sasar kutipan lebih RM51j’ yang menyatakan yayasan itu mensasarkan kutipan dana menjangkau RM51.35 juta pada tahun ini membabitkan pembayar cukai di seluruh negara menerusi program ‘Dana 7 Amanah LHDN’. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!