Sekolah sedia air zamzam untuk calon SPM

Calon SPM di SMK (Perempuan) Sultan Ibrahim, Johor Bahru beratur memasuki kawasan sekolah pada Isnin.
Calon SPM di SMK (Perempuan) Sultan Ibrahim, Johor Bahru beratur memasuki kawasan sekolah pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 melibatkan seramai 49,472 calon di 366 buah pusat peperiksaan negeri ini berjalan lancar dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Seramai 4,089 petugas peperiksaan berkhidmat bagi memastikan peperiksaan SPM yang sudah tertangguh dua kali itu berlangsung sempurna.

Tinjauan Sinar Harian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (Perempuan) Sultan Ibrahim di sini mendapati seramai 175 calon SPM sudah mula hadir seawal jam 6.15 pagi.

Sebelum memasuki sekolah, semua pelajar diwajibkan mengambil suhu badan dan menggunakan cecair nyahkuman selain diberikan air zamzam yang disediakan pihak sekolah untuk penerang hati sebelum menduduki peperiksaan SPM.

Pengerusi Kumpulan Penggerak Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (KPIBKS) Johor, Datuk Yahya Jaafar yang melakukan tinjauan di pekarangan sekolah tersebut berpuas hati dengan persiapan dan pematuhan SOP.

"Saya harap peperiksaan SPM bermula hari ini hingga selesai akan berjalan lancar dan semua sekolah mematuhi SOP. Ini bagi mengelak penularan Covid-19 semasa peperiksaan SPM.

"Kita tidak mahu pula nanti akan ada Kluster SPM. Kita lihat persediaan sekolah-sekolah untuk SPM sudah dilakukan dengan baik termasuk pelaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," katanya ketika ditemui pemberita pada Isnin.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap peperiksaan SPM tahun 2021 tidak ditangguhkan sepertimana SPM tahun 2020 kerana akan memberi banyak kesan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, kakitangan kerajaan, Sharifah Roziah Syed Abdul Ghafar, 47, mengakui gementar kerana anak sulungnya, Sharifah Marzuin Shazierah Syed Mahdar, 18, menduduki SPM kali ini.

Beliau berharap anaknya dapat menduduki peperiksaan dengan tenang kerana sebelum ini emosinya terganggu setelah peperiksaan SPM ditangguhkan sebanyak dua kali.

"Namun penangguhan peperiksaan SPM daripada Disember lalu kepada Februari ini mempunyai hikmah apabila pelajar dapat mengulang kaji mana-mana pelajaran yang tercicir selain membaiki kelemahan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!