SPM: Pengawas bertugas pastikan SOP MKN, KKM dipatuhi
SABAK BERNAM - Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang bermula Isnin adalah mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya berkata, seramai 48,014 pengawas peperiksaan akan memastikan SOP dipatuh sepenuhnya sepanjang tempoh peperiksaan yang berlangsung sehingga 25 Mac ini.
"Dalam keadaan luar biasa ini, semua kelas digunakan untuk tujuan pematuhan SOP tersebut," katanya pada sidang akhbar di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Yoke Kuan, Sekinchan di sini pada Isnin.
Pada Isnin, Muslimin mengadakan lawatan di SMJKC Yoke Kuan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Mustaffa di sini bagi meninjau hari pertama peperiksaan SPM 2020.
Seramai 214 calon SPM menduduki peperiksaan itu di SMJKC Yoke Kuan, manakala 165 calon lagi di SMK Dato' Mustaffa.
Sementara itu, Muslimin berkata, hasil pemantauan mendapati setiap sekolah menyediakan bilik khas, isolasi, alternatif dan transit bagi memastikan calon SPM berada dalam keadaan selamat dan selesa.
"Calon tidak lagi ditempatkan di dewan, sebaliknya mereka dipecahkan di dalam kelas peperiksaan yang memuatkan seramai 12 calon SPM," katanya.
Malah, beliau berkata, calon juga akan ditempatkan di ruang peperiksaan mengikut situasi semasa termasuk tahap risiko penularan jangkitan Covid-19.
"Semua SOP ini perlu dipatuhi bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan serta mencegah penularan wabak Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!