Peperiksaan SPM berjalan lancar
PUTRAJAYA- Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang bermula Isnin berjalan lancar.
Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dalam perkongsian menerusi laman Facebooknya berkata, pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) juga memuaskan.
"Pagi tadi saya bersama Pengarah Peperiksaan Lembaga Peperiksaan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkesempatan melawat ke SMK Saujana Impian, Kajang untuk meninjau keadaan di sekolah dan pematuhan kepada SOP.
"Keadaan teratur dan peperiksaan berjalan dengan lancar," katanya pada Isnin.
Dalam catatan itu, beliau turut mendoakan yang terbaik untuk calon SPM dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) 2020.
"Peperiksaan SPM pada tahun ini amat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya," katanya.
Seramai 401,105 calon SPM 2020 seluruh negara menduduki peperiksaan bermula Isnin sehingga 25 Mac depan.
"Hari ini merupakan hari pertama peperiksaan SPM dan SVM di mana calon menjawab kertas peperiksaan Bahasa Melayu Kertas Satu," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN 401,105 calon duduki peperiksaan SPM dalam norma baharu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!