Penjawat awam didakwa palsukan tuntutan RM16,800
JOHOR BAHRU - Seorang pembantu tadbir di Pejabat Kadi Daerah Kluang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas 21 pertuduhan membuat tuntutan palsu sebanyak RM16,800 ke atas kelas takmir surau dan masjid yang tidak wujud pada 2015 dan 2016.
Tertuduh, Norazah Abd Aziz, 49 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Abdul Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, Norazah dengan niat memperdayakan prinsipalnya iaitu Jabatan Agama Islam Negeri Johor ( JAINJ) dengan membuat tuntutan palsu menerusi Borang Tuntutan Saguhati Mengajar Di Bawah Rancangan Kelas Takmir Masjid dan Surau berjumlah RM800 setiap satu, selama 21 bulan.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada Januari hingga Disember 2015 serta Januari hingga September 2016.
Kesemua pertuduhan itu, didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta yang sama.
Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd Pauzi manakala tertuduh diwakili Siti Norbaya Aman.
Terdahulu, Nur Mahirah memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah selain tertuduh diminta melapor diri ke Pejabat SPRM setiap bulan.
Sementara itu, Siti Norbaya memohon mahkamah menetapkan jaminan rendah dengan alasan tertuduh mengalami masalah kewangan.
Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 8 Mac depan bagi penyerahan dokumen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!