Mufti Pulau Pinang tegur agamawan
GEORGETOWN - Agamawan disarankan supaya tidak bercakap sesuatu perkara atau isu di luar ilmu pengetahuan dan kepakaran mereka.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, di dalam Islam, bercakap adalah amanah dan umat Islam diwajibkan bercakap berdasarkan ilmu kepakaran.
"Jika bercakap tanpa ilmu pengetahuan, kemungkinan besar akan membawa fitnah. Nabi pun bersabda, jangan bercakap berdasarkan sangkaan kerana ia akan membawa kepada kemudaratan," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini pada Isnin.
Beliau berkata, orang ramai perlu mematuhi dan mendalami ilmu agama terutamanya berkaitan isu semasa berikutan banyak salah faham ditularkan dalam media sosial.
"Jangan bercakap di luar bidang dan pengetahuan kita. Serahkan kepada pakar," katanya.
Sebelum ini, Wan Salim meminta umat Islam agar tidak meragui status halal vaksin Covid-19 setelah diyakinkan oleh pihak berkaitan bahawa tiada elemen haiwan terkandung di dalamnya.
Beliau berkata, umat Islam juga disarankan tidak terpengaruh dengan dakwaan golongan anti vaksin.
Menurutnya, tiada apa yang perlu dirisaukan berhubung perkara itu susulan Muzakarah Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) telah memutuskan hukum harus (halal) ia digunakan untuk umat Islam.
Pada Ahad, vaksin pertama Covid-19, Pfizer-BioNTech tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan Malaysia Airlines MH604 dengan menggunakan pesawat Airbus 330-300 yang dikendalikan oleh MABkargo Sdn Bhd (MASKargo).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!