15 calon di Pahang duduki SPM di pusat kuarantin
KUANTAN - Seramai 15 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dikuarantin menduduki peperiksaan di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) bermula pada Isnin.
Rektornya, Profesor Madya Dr Mohd Zawawi Zainal Abidin berkata, kesemua calon yang menduduki peperiksaan itu adalah bebas Covid-19 tetapi ditetapkan mengambil SPM di pusat itu sehingga tamat peperiksaan pada 25 Mac depan.
"Kalau ikutkan 19 calon yang akan menduduki peperiksaan SPM di sini tetapi empat lagi calon dari Temerloh dan Bentong tidak dapat menduduki SPM pada hari ini (Isnin) kerana menjalani ujian calitan dan belum dibenarkan menduduki peperiksaan.
"Jadi, kesemua mereka ini adalah calon yang berada di zon kuning berbanding empat lagi calon diasingkan dari zon merah dan semua kelengkapan peperiksaan, keperluan harian termasuk makan dan minum disediakan selengkapnya di pusat ini," katanya ketika ditemui di pusat kuarantin di KUIPSAS pada Isnin.
Beliau berkata, kesemua calon perlu mematuhi operasi prosedur standard (SOP) ketat yang ditetapkan dengan kawalan 53 orang anggota keselamatan dari agensi terlibat.
Katanya, semua calon di pusat ini menerima layanan serta perhatian yang sangat baik daripada semua pihak termasuk pemimpin kerajaan Pahang.
Jelasnya, kelas tambahan semua subjek turut disediakan kepada mereka secara maya dan mereka masih boleh mengulangkaji pelajaran.
"Dari segi kos keperluan di sini tidak menjadi masalah kerana pusat ini menerima RM10,000 sumbangan daripada kerajaan negeri melalui Menteri Besar Pahang, RM10,000 daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
"Pelajar juga menerima sumbangan makanan dan keperluan daripada barisan pemimpin kerajaan negeri (Exco) yang turut meluangkan masa memberi semangat kepada mereka," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!