Penduduk tertekan berdepan masalah bekalan air setiap hari
ALOR SETAR - Kira-kira 20,000 penduduk di kawasan Kuala Kedah hidup dalam keadaan tertekan apabila berhadapan masalah bekalan air setiap hari sejak lebih 10 tahun lalu.
Antara kawasan terlibat ialah Taman Sri Putra, Taman Desarina Indah 2, Taman Desarina Indah 3, Taman Armada 2, Taman Nautika, Taman Desa Wawasan, Taman Nusantara, Kampung Tepi Laut, Kampung Madrasah, Kampung Tengah dan Kampung Ulu.
Bok Che Napiah, 55, dari Kampung Tengku Laksamana berkata, sepanjang 20 tahun tinggal di kawasan berkenaan, masalah gangguan air bagaikan sudah sebati dengan penduduk Kuala Kedah.
Katanya, tahun lalu merupakan situasi paling teruk pernah dihadapi mereka apabila penduduk langsung tidak menerima bekalan air dan terpaksa bergantung kepada air yang diedarkan oleh lori Syarikat Air Darul Aman (SADA).
"Tahun-tahun sebelum itu ada juga air tapi tahun lepas langsung tak ada. Lori SADA pula hantar air tidak mengikut jadual, jadi ia menyukarkan aktiviti seharian kami," katanya ketika ditemui pada sidang media di Pusat Khidmat DUN Kubang Rotan di sini pada Isnin.
Menurutnya, secara purata dia terpaksa mengeluarkan belanja hampir RM1,000 sebulan bagi menampung pembelian air mineral untuk memasak dan urusan mencuci baju di dobi layan diri.
"Di rumah saya terpaksa guna lima buah pam yang dibeli dengan kos RM 2,000 tetapi tetap tidak dapat air, sudahnya saya terpaksa beli air mineral untuk kegunaan harian seperti memasak dan untuk diminum.
"Aduan kepada SADA sudah kerap saya buat tetapi masalah tetap tidak selesai sehingga hari ini. Mereka memberi maklum balas supaya kami menunggu projek naik taraf Loji Rawatan Air Pelubang yang akan siap dalam tempoh beberapa tahun lagi.
"Bagi saya isu air ini sangat besar dan kami hidup dalam tekanan saban hari, jadi kami mahukan penyelesaian segera bukan yang memakan masa tiga empat tahun lagi," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Zabidi Ramli, 41, dari Taman Armada 2 berkata, disebabkan tertekan dengan masalah gangguan air yang dialami itu menyebabkan segelintir penduduk berhasrat menjual rumah didiami mereka.
"Tetapi nak jual pun tidak laku sebab semua orang dah tahu kawasan ini memang terkenal dengan masalah gangguan air jadi siapa yang nak beli?
"Di kawasan perumahan saya ini air paip kadang-kadang ada 20 minit sahaja, kejadian paling teruk pada Sabtu lalu, air cuma ada lima minit sahaja, nak tadah pun tak sempat.
"Saya ada hubungi bahagian penghantaran air SADA tapi sekali pun tak jawab. Saya cuma nak suruh hantar air ke rumah.
"Ini pun sudah tiga hari pakaian tidak dibasuh. Lori SADA hantar air tidak ikut jadual jadi yang bekerja siang selalunya tidak dapat bekalan air yang diedarkan," katanya.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Seri Marina, Mohd Affendi Abdul Aziz pula mencadangkan agar pihak SADA menempatkan sebuah tangki besar di kawasan kritikal untuk menakung air sebelum disalurkan ke rumah penduduk.
"Cadangan ini lebih efektif pada ketika ini berbanding penyelesaian jangka panjang yang perlu dinantikan oleh penduduk sementara projek naik taraf LRA Pelubang siap sepenuhnya.
"Selain itu perumahan baharu yang akan dibina di kawasan ini juga perlu dikaji semula oleh pihak terlibat supaya ia tidak akan memburukkan lagi pengagihan bekalan air yang dihadapi ketika ini," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, secara purata masalah gangguan air di kawasan terbabit melibatkan sebanyak 5,000 akaun SADA.
"Jadi saya berharap kerajaan negeri dapat mencari alternatif lain untuk menyelesaikan masalah ini dengan lebih cepat sementara menanti projek naik taraf LRA Pelubang siap yang kita tahu mengambil masa yang sangat lama.
"Saya juga berharap Exco Bekalan Air dan Sumber Air, Datuk Suraya Yaacob dan Ketua Pegawai Eksekutif SADA dapat turun padang berjumpa penduduk dan melihat sendiri penderitaan mereka di sini," katanya.
Selain itu, tinjauan di Taman Armada 2 mendapati kebanyakan rumah di kawasan terbabit mempunyai tangki air di luar rumah untuk memudahkan mereka menyimpan air yang diedarkan oleh lori SADA.
Sinar Harian juga sedang berusaha mendapatkan respon daripada SADA berhubung isu berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!