Penggunaan MSM boleh meningkat kepada 1.3j tan metrik setahun

Teresa Kok. - Foto Bernama
Teresa Kok. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Penggunaan minyak sawit mentah (MSM) Malaysia boleh meningkat kepada 1.3 juta tan metrik setahun dengan peningkatan peratusan pengadunan biodiesel daripada B10 kepada B20 serta pengenalan mandat B10 bagi penggunaan diesel perindustrian, kata Menteri Industri Utama, Teresa Kok.

Beliau berkata, langkah itu akan mengurangkan paras stok yang tinggi dan menggalakkan harga MSM yang lebih baik dan stabil.

"Peningkatan RM100 setan metrik dalam harga MSM dijangka menjana tambahan hasil RM2 bilion kepada negara,” katanya pada Forum Perniagaan Biofuel, di sini, hari ini.

Malaysia melaksanakan program B10 bagi sektor pengangkutan pada 1 Februari tahun ini.

Teresa dilaporkan berkata, kerajaan juga merancang meningkatkan adunan biodiesel daripada B10 kepada B20 pada 2020.

Pada sidang media kemudiannya, apabila ditanya mengenai cadangan Suruhanjaya Eropah untuk mengehadkan penggunaan biofuel, Kok berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Indonesia dan Colombia semasa mesyuarat peringkat menteri keenam Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) di Jakarta, Indonesia pada 28 Feb.

"Kami mahu memahami isi kandungannya terlebih dahulu, kemudian barulah kami akan melihat bagaimana untuk memberikan maklum balas,” katanya.

Pengarah Eksekutif CPOPC Mahendra Siregar, yang turut hadir pada sidang media itu berkata, cadangan peraturan tersebut dianggap sebagai satu diskriminasi kerana ia tidak menerima pencapaian pengeluaran sawit ketika ini selain daripada risiko iklim.

Artikel Berkaitan:

"Metodologi hanya menumpukan kepada penebangan hutang, ia mendiskriminasikan satu komoditi dan adil bagi negara Eropah menghasilkan minyak domestik. Ini adalah suatu yang kita tidak akan terima sebagai metodologi dan penilaian adil,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!