Muhyiddin tinjau kesiapsiagaan IKN
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin meninjau kesiapsiagaan Institut Kanser Negara (IKN), di sini menjelang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan fasa pertama yang akan bermula Rabu ini.
IKN adalah satu daripada 54 Pusat Simpanan Vaksin (PSV) yang terdapat di negara ini dan berperanan membekalkan vaksin secara berjadual kepada empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Putrajaya yang telah dikenal pasti.
Muhyiddin tiba di IKN pada jam 6.10 petang dan disambut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba serta Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Turut serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketika 35 minit di IKN, Muhyiddin mendengar sesi taklimat tertutup oleh Pengarah IKN, Dr Mohd Anis Haron@Harun sebelum dibawa meninjau Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di IKN.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri sempena lawatan Muhyiddin ke IKN itu, secara keseluruhannya terdapat 54 lokasi PSV dan 605 lokasi PPV di seluruh negara.
Menurut kenyataan itu, vaksin yang diterima oleh IKN adalah untuk kegunaan dalam fasa pertama pelaksanaan program imunisasi itu yang melibatkan seramai 7,020 orang termasuklah anggota kesihatan dan bukan kesihatan.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Februari ini, dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.
Fasa 2 pula iaitu dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas - warganegara dan bukan warganegara - dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri itu, pendekatan kerajaan adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin menjelang Februari 2022 untuk mengurangkan penularan virus Covid-19.
Kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech melibatkan 312,390 dos selamat tiba di Malaysia pada Ahad (21 Februari) melalui pintu masuk utama negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang; Johor dan Pulau Pinang.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri itu, vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech adalah sensitif terhadap suhu dan perlu disimpan dalam Penyejuk Beku Bersuhu Ultra-Rendah (ULTF) dengan suhu -90 darjah Celsius sehingga -60 darjah Celsius bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan optimum.
“Jangka hayat vaksin dalam penyejuk beku ini adalah enam bulan daripada tarikh pengilangan,” katanya.
Bagi tujuan pembekalan ke PPV, vaksin akan dipindahkan ke kotak sejuk (cold box) dengan suhu simpanan 2 darjah Celsius hingga 8 darjah Celsius dan dimasukkan ke dalam peti sejuk muatan atas, dengan suhu penyimpanan yang sama setelah tiba di PPV.
“Vaksin Comirnaty yang disimpan pada suhu 2 darjah Celsius hingga 8 darjah Celsius mempunyai jangka hayat sehingga lima hari atau bersamaan dengan 120 jam,” menurut kenyataan itu - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula 24 Februari
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!