Didenda RM12,500 tipu kerja lebih masa

Tertuduh (kanan) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin untuk pertuduhan kes tuntutan palsu kerja lebih masa berjumlah RM3,352.06, enam tahun lalu.
Tertuduh (kanan) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin untuk pertuduhan kes tuntutan palsu kerja lebih masa berjumlah RM3,352.06, enam tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) didenda RM12,500 oleh Mahkamah Sesyen, di sini pada Isnin atas lima pertuduhan membuat tuntutan palsu kerja lebih masa berjumlah RM3,352.06, enam tahun lalu.

Mohd Johan Fazlan Sa'don, 43, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 15 bulan, jika gagal membayar denda.

Dilaporkan tertuduh membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, tertuduh didakwa dengan curangnya menggunakan dokumen palsu iaitu set dokumen Penyata Tuntutan Bekerja Lebih Masa, bagi Mei hingga September 2015, yang diketahui dokumen tersebut adalah palsu.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Unit Gaji, Bahagian Khidmat Pengurusan KKM Putrajaya, antara Jun hingga Oktober 2015.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abd Muntaqim Abdul Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Nur Fazrin Ahmad.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!