Bekas ADUN Jengka meninggal dunia
TEMERLOH - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka dan juga Exco kerajaan negeri Pahang, Datuk Zainal Hassan, 77, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur pada jam 11.30 pagi Isnin akibat komplikasi buah pinggang dan jantung.
Anak Allahyarham, Datuk Azwan Iskandar Zainal, 43, memberitahu, ayahnya telah dimasukkan ke hospital tersebut untuk menerima rawatan sejak tiga minggu lalu.
Menurutnya, beliau mendapat panggilan daripada kakaknya memaklumkan keadaan ayahnya nazak pada kira-kira jam 10 pagi sebelum meninggal dunia pada jam 11.30 pagi.
"Tiada kata-kata terakhir diberikan dan kami sekeluarga reda dengan kehilangan ayah," kata anak kedua daripada enam beradik itu.
Azwan yang juga Setiausaha Bersatu Bahagian Kuala Krau juga memberitahu, jenazah ayahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Nerek, di sini selepas solat Maghrib.
Allahyarham yang meninggalkan seorang isteri, Datin Normah Bachik, 70, dan enam orang anak pernah berkhidmat sebagai ADUN Jengka selama empat penggal bermula 1980 sebelum tewas pada 1999 di tangan Menteri Alam Sekitar dan Air ketika ini, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10).
Allahyarham juga pernah menjawat jawatan Exco Perumahan dan Tugas-tugas Khas Pahang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!