Didik pekerja bendung pandemik

Gandingan mantap maji­kan dan pekerja aspek terpen­ting mengekang kewujudan dan penularan kluster di tempat kerja. - Foto 123RF
Gandingan mantap maji­kan dan pekerja aspek terpen­ting mengekang kewujudan dan penularan kluster di tempat kerja. - Foto 123RF
A
A
A

SELANGOR dan Johor merupakan dua negeri yang sering muncul di tempat teratas dalam senarai kluster berkaitan tempat kerja.

Kluster Stutong, Kluster Belati dan Kluster Rengit Sentral merupakan antara kluster yang membabitkan golongan pekerja.

Saban hari kes baharu membabitkan kluster tempat kerja dikesan, sama ada hasil saringan bersasar, hasil saringan kontak rapat, hasil saringan individu bergejala dan hasil saringan sebelum pulang ke negara asal.

Kluster tempat kerja merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan, pembinaan, pentadbiran awam, pertanian dan perlombongan/kuari dengan kluster perkilangan mencatatkan bilangan tertinggi.

Kemunculan berterusan kluster baharu tempat kerja di samping kluster aktif sedia ada terus melonjakkan kes harian baharu yang berterusan berikutan saringan besar-besaran kalangan pekerja asing.

Hal ini menjadikan kluster tempat kerja mendominasi gelombang ketiga penularan Covid-19 yang merekodkan 527 kluster (61.85 peratus) dengan 78,906 kes positif sepanjang 20 September sehingga 13 Februari 2021 lalu akibat kurang pemahaman kalangan majikan dan pekerja terhadap risiko jangkitan.

Malah, timbul kebimbangan kemungkinan berlakunya penularan kalangan masyarakat awam daripada kluster ini adalah tinggi memandangkan lokasi tapak binaan dan penempatan pekerja yang berdekatan dengan lokasi awam.

Menurut Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, menjadi tanggungjawab majikan menyediakan satu persekitaran kerja yang bebas daripada bahaya yang diketahui, selamat dan tanpa sebarang risiko kepada kesihatan untuk pekerja mereka.

Artikel Berkaitan:

Justeru, majikan perlu berterusan mendidik pekerja mengenai tanda dan gejala Covid-19 serta langkah untuk meminimumkan risiko jangkitan, selain melaksanakan dan/atau menilai protokol respon kecemasan di tempat kerja.

Langkah lain termasuklah tindakan kuarantin jika perlu selain memberi cuti sakit/rehat dan menggalakkan pekerja duduk di rumah jika tidak sihat bertujuan mengelakkan risiko jangkitan kalangan rakan sekerja.

Tenaga kerja

Tenaga kerja adalah adalah aset berharga bagi sesebuah organisasi, maka majikan perlu sentiasa melindungi pekerja serta berperanan dalam memastikan tiada jangkitan Covid-19 di tempat kerja.

Ini bagi menepis tanggapan umum bahawa, majikan hanya memikirkan keuntungan semata-mata tanpa mempedulikan kesihatan dan keselamatan pekerja mereka sehingga menjadi antara punca penularan ini gagal dikekang.

Justeru, bagi membuktikan keprihatinan mereka, majikan disaran menitikberatkan prosedur pematuhan SOP di tempat kerja, bertanggungjawab memastikan pekerja sentiasa mengamalkan langkah pencegahan jangkitan serta bersikap proaktif dalam menjalankan saringan agar pekerja yang positif tetapi tidak bergejala dapat dikesan segera.

Kedua-dua pihak iaitu majikan dan pekerja perlu bekerjasama dan mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi permasalahan ini terutama kefahaman tentang risiko Covid-19.

Jika isu ini difahami sepenuhnya, majikan pastinya tidak keberatan menyedia dan membekalkan pekerja mereka dengan peralatan perlindung diri (PPE) yang mencukupi dalam mencegah Covid-19 dan risiko pekerjaan yang lain manakala pekerja tidak kekok mengamalkan kawalan kendiri.

Pekerja juga harus sentiasa mematuhi peraturan dan arahan ditetapkan oleh majikan berkaitan Covid-19, serta mengamalkan kawalan kendiri ketika berada di tempat kerja tanpa perlu sentiasa dipantau.

Ternyata, gandingan mantap majikan dan pekerja adalah aspek terpenting dalam mengekang kewujudan dan penularan kluster di tempat kerja.

Selain itu, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri turut digesa memainkan peranan lebih aktif dalam menangani isu terbabit.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!