'Hon la kuat mana pun, aku tak marah'
RAWANG - Seorang pemuda yang baru berjinak dalam bidang penjualan ketupat daun palas tidak menyangka perkongsiannya di Twitter tular dan mendapat sokongan ramai.
Muhammad Zul Iqbal Md Zainulfudi, 22, atau lebih mesra dipanggil Colll baru dua minggu memulakan perniagaan itu.
Katanya, pada minggu lalu dia berjaya menjual 16 bekas ketupat serta rendang ayam dalam tempoh tiga hari penghantaran di beberapa lokasi.
"Biasanya saya pergi ke lima hingga tujuh tempat untuk menjual produk ini dengan menunggang motosikal. Sebelum itu, saya mengambil tempahan tiga hari lebih awal.
"Dalam masa tiga hari itu juga saya akan menyiapkan ketupat daun palas dan tiga hari lagi saya buat penghantaran dalam jam 10 pagi hingga 6 petang," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Berbekalkan minat yang mendalam dalam bidang perniagaan dan masakan, Muhammad Zul menyediakan hidangan rendang sendiri tanpa dibantu oleh sesiapa.
"Semuanya saya buat sendiri bermula dari menganyam daun palas hinggalah kepada penyediaan rendang ayam. Setelah siap, saya akan bagi mak rasa dahulu untuk tanya pendapat dan kekurangan hidangan ini.
"Sehari saya boleh siapkan dalam 40 hingga 100 biji ketupat palas bergantung kepada keadaan. Sebekas ketupat palas termasuk rendang ayam harganya hanya RM13," katanya.
Muhammad Zul juga memberitahu, sekiranya jualan pada hari penghantaran masih berbaki, dia akan meletakkan pesanan ringkas di belakang beg penghantaran dengan tulisan 'hon kalau nak' sebagai makluman kepada orang ramai.
"Biasanya kalau sekali penghantaran akan ada lebih ketupat daun palas, jadi sambil menunggang motor, kalau ada pemandu kenderaan yang mahu membeli ketupat daun palas, mereka hanya perlu hon sahaja.
"Begitulah yang berlaku pada beberapa hari lalu, seorang lelaki telah bunyikan hon untuk membeli ketupat palas ini. Memang tidak sangka ada yang perasan," katanya.
Jelasnya, berharap produk yang diusahakan itu berjaya terutama dari segi kualiti, kuantiti termasuk aspek pemasaran.
"Insya-ALLAH, buat masa ini saya tingkatkan lagi kualiti dan kuantiti produk. Bagaimanapun saya bimbang tidak cukup tangan untuk memenuhi tempahan.
"Saya juga mahu orang ramai mengenali 'Ketupat Acolll' dan boleh mendapatkannya bila-bila masa sahaja bukan hanya pada Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha," katanya.
Pada Ahad, ciapan Muhammad Zul iaitu 'Hon laa kuat mana pun... aku tak marah..hahahahaha' tular di laman sosial hingga meraih lebih 11,000 tanda suka dan 10,000 ciapan dari warga maya yang memberi sokongan kepada perniagaannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!