Kerajaan disaran gubal Peta Pembangunan Vaksin Negara

Sebanyak 312,390 dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech tiba di KLIA pada Ahad.
 - Foto Bernama Gambar kecil: Razali
Sebanyak 312,390 dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech tiba di KLIA pada Ahad.
 - Foto Bernama Gambar kecil: Razali
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mencadangkan agar kerajaan menggubal Peta Pembangunan Vaksin Negara sebagai perancangan untuk negara ini menghasilkan vaksin buatan tempatan yang mematuhi garis panduan antarabangsa.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, langkah itu dilihat perlu sebagai pelan jangka panjang.

Pada masa sama, kaukus itu berharap agar pasukan respons Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 memastikan maklumat separa benar dan palsu berhubung vaksin Covid-19 yang diterima negara ini ditangkis sepenuhnya.

“Sehubungan itu, rakyat perlu diberikan maklumat yang benar, tepat dan pantas dalam soal pemberian dos vaksin Covid-19 yang diperoleh oleh Malaysia seperti Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Sinovac, CanSinoBio dan Sputnik V,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau turut menyifatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bakal didahului Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin esok sebagai 'keberanian luar biasa' yang terarah kepada pemulihan kesejahteraan awam, rakyat dan ekonomi negara.

"Berslogankan 'Lindung Diri, Lindung Semua', kerajaan Perikatan Nasional telah melaksanakan satu misi nasional mega yang bakal memastikan negara Malaysia yang disayangi terus kekal selamat, terjamin, sejahtera dan stabil," katanya.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula esok dengan fasa satu dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa kedua pula iaitu dari April hingga Ogos 2021 membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala fasa ketiga dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran lebih 13.7 juta orang. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!