DJ Yusuf letak jawatan
SHAH ALAM - Penyampai Hitz FM Sarawak, Muhammad Yusuf Shukri atau lebih dikenali DJ Yusuf yang sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana menyindir seorang guru Sains di aplikasi TikTok meletak jawatan daripada stesen radio tersebut berkuat kuasa Ahad.
Perkara itu disahkan pengurusan stesen radio terbabit menerusi ciapan di Twitter.
"Hitz komited dalam menyampaikan maklumat dan hiburan kepada rakyat Malaysia. Hasil siasatan dalaman berhubung kontroversi membabitkan salah seorang penyampai Hitz FM, kami menerima peletakan jawatan (DJ Yusuf) berkuat kuasa pada 22 Februari 2021," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, hasil semakan di Instagram DJ Yusuf belum ada kemas kini maklumat terbaharu mengenai keputusan tersebut.
Minggu lalu, heboh di laman sosial penyampai berusia 29 tahun itu dikecam warga maya susulan aksinya mentertawa dan mempersendakan sebutan bahasa Inggeris guru Sains di saluran DidikTV.
Susulan tindakan itu, DJ Yusuf berdepan tindakan digantung kerja pada 19 Februari lalu.
Pengurus Besar Astro Radio Malaysia Timur, Hafiz Nizamuddin kemudian tampil membuat permohonan maaf dan meluahkan rasa kesal atas perlakuan Yusuf itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!