Perhimpunan Agung UMNO 27 dan 28 Mac depan
KUALA LUMPUR - Perhimpunan Agung UMNO 2020 dijadualkan berlangsung pada 27 dan 28 Mac depan, menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Ahmad dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, keputusan itu dibuat Majlis Kerja Tertinggi parti dan ia bakal berlangsung secara kombinasi perhimpunan secara bersemuka dan secara maya.
“Segala prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan dipatuhi,” katanya menerusi kenyataan itu.
Sebelum ini, Ahmad telah mengumumkan penangguhan perhimpunan itu yang dijadualkan berlangsung pada 30 dan 31 Januari selaras dengan proklamasi darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan.
Sementara itu, Ahmad berkata, sempena sambutan Jubli Intan 75 Tahun Kelahiran UMNO pada 11 Mei, parti itu turut menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk sayembara (pertandingan) penulisan puisi, video pendek dan mencipta logo.
Maklumat lanjut mengenai sayembara tersebut boleh diakses menerusi www.umno-online.my. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!