Urusan BSH bebankan pemohon
ALOR SETAR - Pemuda UMNO Kedah menerima rungutan yang tidak henti-henti daripada orang ramai yang memohon Bantuan Sara Hidup (BSH) kerana berhadapan prosedur yang amat membebankan.
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, permohonan bagi mendapatkan BSH dibuka mulai 1 Februari lalu sehingga 15 Mac ini.
"Sejak itu, kami terima banyak aduan dan rungutan daripada orang ramai yang tidak berpuas hati antaranya mereka perlu mengemukakan pelbagai sijil seperti sijil nikah, sedangkan ada warga emas yang sudah hilang entah ke mana sijil berkenaan.
"Selain itu, bagi pemohon yang bekerja kampung pula mereka perlu menunjukkan bukti pendapatan. Tetapi semua sedia maklum mereka ini mana ada slip gaji yang boleh dikemukakan," katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, sistem atas talian yang disediakan juga tidak cekap dan efisien menyebabkan pemohon terpaksa bersesak ke pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mengisinya secara manual.
"Sepatutnya urusan atas talian ini lebih memudahkan, tetapi prosesnya lagi menyulitkan. Persoalannya, adakah kerajaan memang sengaja menyulitkan proses permohonan supaya jumlah pemohon kurang dan sekali gus menjimatkan duit kerajaan?,"soalnya.
Syed Mohd Johan Rizal berkata, Pemuda UMNO Kedah mendesak kerajaan mengkaji kembali prosedur BSH yang sangat membebankan pemohon selain wujudkan skuad sukarelawan membantu warga emas di kampung, orang kurang upaya (OKU).
"Sepatutnya, permudahkan permohonan dan buka ruang kepada seramai mana calon yang layak untuk membuat permohonan. Wujudkan skuad sukarelawan membantu pemohon yang jauh dari pekan.
"Kerajaan PH perlu belajar bagaimana Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) diuruskan dan dimudahkan oleh kerajaan BN dahulu. Ketika itu, urusan memproses borang boleh selesai di peringkat kampung sahaja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!