'Tidak pernah terfikir nak sewa rumah pula'

Ahmad Fadhli mendengar luahan Wan Khadijah (kiri) ketika menyampaikan sumbangan bantuan kepada mangsa-mangsa tebing runtuh dari zon merah di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pasir Mas di Kasar, Pasir Mas.
Ahmad Fadhli mendengar luahan Wan Khadijah (kiri) ketika menyampaikan sumbangan bantuan kepada mangsa-mangsa tebing runtuh dari zon merah di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pasir Mas di Kasar, Pasir Mas.
A
A
A

PASIR MAS - Mangsa insiden tebing Sungai Kelantan runtuh di Kampung Pohon Chelagi, di sini tidak pernah terfikir mereka perlu menyewa kediaman baharu sedangkan sudah mempunyai tanah dan rumah sendiri.

Ekoran kejadian tersebut, kebanyakan daripada mereka kini menumpang teduh di rumah saudara mara sementara mencari rumah untuk disewa.

Wan Khadijah Wan Ibrahim, 77, berkata, sehingga sekarang dia masih mencari rumah untuk disewa dan buat sementara waktu dia tinggal di rumah anaknya di Kampung Kubang Panjang di sini.

"Sampai sekarang saya masih tidak percaya rumah peninggalan orang tua yang tersimpan banyak kenangan hilang sekelip mata. Bukan sahaja rumah, barang-barang juga turut sama hilang bersama runtuhan," katanya ketika ditemui di majlis penyampaian bantuan kepada mangsa tebing runtuh dari zon merah di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pasir Mas pada Selasa.

Menurutnya, bagaimanapun dia reda dan menyifatkan kejadian itu sebagai ujian daripada ALLAH yang perlu ditempuh.

Tambah warga emas itu, dia kini sedang bangkit dari 'trauma' akibat kejadian itu.

Wan Khadijah berkata, bantuan yang tidak putus daripada pemimpin setempat cukup melegakan dia dan penduduk yang lain untuk meneruskan kehidupan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau sedia untuk menjadi 'penghubung' antara rakyat dan kerajaan dalam isu tersebut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau bertekad untuk berjuang bagi memastikan nasib penduduk terlibat terbela dengan sebaiknya.

"Alhamdulillah cadangan yang saya kemukakan kepada penduduk untuk mewujudkan jawatankuasa bertindak telah dipersetujui oleh mereka.

"Dengan adanya jawatankuasa itu, nasib penduduk terlibat akan lebih terbela selepas ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!