Kontraktor projek lebuh raya bakal berdepan tindakan tegas
AMPANG - Kerajaan Negeri Selangor tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya kontraktor sebuah projek lebuh raya gagal memberhentikan pencemaran di sungai Ampang.
Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal Selangor, Hee Loy Sian yang melawat tapak pembinaan lebuh raya itu di Ampang Jaya berkata, pihak kontraktor pernah diarahkan untuk membuat penambah baikan bagi mengurangkan pencemaran sungai yang menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Ampang, di sini.
Namun begitu, pihaknya masih menerima aduan daripada penduduk yang sering terputus bekalan air kerana henti tugas di loji itu akibat pencemaran di sungai tersebut.
Menurutnya, pihak Kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pernah mengenakan kompaun sebanyak RM500,000 kepada kontraktor lebuh raya tersebut.
"Pada 2019, sekitar 119 kali iaitu lebih kurang 3 hari sekali henti tugas di loji berkenaan dilaporkan.
"Kalau sungai masih tercemar, pihak kami akan menggunakan enakmen di bawah Lembaga Urusetia Air Selangor (LUAS) yang mana jika disabitkan kesalahan, pesalah akan dikenakan mandatori penjara tidak lebih tiga tahun dan denda sebanyak RM200,000 hingga RM1 juta," katanya pada Selasa.
Dalam pada itu, Loy Sian berkata, lebuh raya yang dibina pada tahun 2015 itu telah menyebabkan henti tugas di LRA tersebut sejak tahun 2017.
"Kita akan terus memantau untuk dua bulan, kalau sungai masih tercemar dan menyebabkan LRA dihentikan tugas, kita akan menggunakan Enakmen LUAS untuk menghadapkan mereka ke mahkamah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!