Pemandu treler maut, kenderaan terbabas masuk gaung

Seorang pemandu treler membawa muatan besi buruk maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira 130 meter di Kilometer 218 Lebuhraya Pantai Timur 1(LPT1) di sini awal pagi pada Selasa.
Seorang pemandu treler membawa muatan besi buruk maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira 130 meter di Kilometer 218 Lebuhraya Pantai Timur 1(LPT1) di sini awal pagi pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Seorang pemandu treler membawa muatan besi buruk maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira 130 meter di Kilometer 218 Lebuhraya Pantai Timur 1(LPT1) di sini awal pagi pada Selasa.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.10 pagi itu, mangsa, Mohd Syafiq Atan, 30, yang beralamat dari Langgar, Kedah cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, kelindannya, Mohd Izwan Atan, 24 dilaporkan cedera pada bahagian kaki.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, berdasarkan siasatan awal treler tersebut dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, treler tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam gaung.

"Mangsa tersepit dalam kenderaan sebelum dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk proses bedah siasat," katanya.

Kamarulzaman berkata, mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan berhubung kejadian daripada MERS 999 pada jam 6.16 pagi.

Menurutnya, seramai sembilan anggota bomba dan seorang pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas bergegas ke lokasi.

"Pemeriksaan mendapati seorang lelaki tersepit dalam lori dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera," katanya.

Anuar berkata, pasukan bomba membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dan dibawa naik ke tebing sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!