Dividen SSPN empat peratus

Skim Simpanan Pendidikan Nasional
Skim Simpanan Pendidikan Nasional
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pengajian Tinggi hari ini mengumumkan agihan dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi tahun 2020 sebanyak empat peratus.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, agihan tersebut membabitkan anggaran peruntukan berjumlah RM201.3 juta yang memberi manfaat kepada 4.82 juta pendeposit akaun SSPN.

Menurutnya, jumlah itu menjadikan keseluruhan agihan dividen ialah RM856.6 juta sejak SSPN diperkenalkan.

"Agihan ini didorong hasil pulangan bersih pelaburan ke atas deposit yang diterima oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Tahun 2020 juga menyaksikan PTPTN memperoleh keuntungan pelaburan deposit SSPN berjumlah RM237.42 juta.

"Prestasi tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak RM32.14 juta iaitu 15.7 peratus berbanding RM205.28 juta pada tahun 2019.

"Kejayaan ini adalah hasil kecekapan PTPTN pelaksanaan kaedah pelaburan patuh syariah berjangka pendek dan panjang di pasaran wang tempatan yang melindungi prinsipal di samping memberikan pulangan atau keuntungan yang tinggi dan positif,"katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Noraini, deposit SSPN bagi tahun 2020 yang berjumlah RM1.99 bilion juga mencatatkan rekod baharu tertinggi sepanjang penubuhan PTPTN apabila menunjukkan peningkatan sebanyak RM623.82 juta atau 45.6 peratus berbanding RM1.37 bilion pada tahun 2019.

Katanya, ia menjadikan jumlah keseluruhan deposit SSPN sehingga 31 Disember 2020 ialah RM7.88 bilion.

Artikel Berkaitan:

"Sementara itu, sebanyak 436,101 akaun baharu SSPN berjaya dibuka pada tahun 2020, satu kejayaan yang memberangsangkan berbanding sasaran tahunan sebanyak 400,000 akaun. Sehingga 31 Disember 2020, sebanyak 4.82 juta akaun telah dibuka sejak SSPN diperkenalkan pada tahun 2004.

"KPT merakamkan ucapan tahniah kepada pengurusan PTPTN atas prestasi cemerlang SSPN bagi tahun 2020 sekali gus dapat memberikan kadar dividen yang sangat kompetitif kepada pendeposit SSPN walaupun dalam keadaan ekonomi yang sukar akibat pandemik Covid-19," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!