Wanita hadiahkan sahabat baik gelang RM11,000
SHAH ALAM - Seorang wanita menghadiahkan sahabat baiknya seutas gelang emas bernilai RM11,000 sebagai tanda simbolik dikurniakan seseorang yang cukup bererti dalam hidupnya.
Nurul Atira Mohd Saari, 30, telah bersahabat dengan Nurul Natrah Hidayu Ramle selama 18 tahun.
Katanya, pemberian seutas gelang tangan emas itu adalah hadiah sempena perkahwinan Nurul Natrah baru-baru ini.
"Ya, hadiah itu sempena perkahwinan Nurul Natrah tetapi di sebalik pemberian itu, sebenarnya ia simbolik tanda terima kasih kerana Nurul Natrah pernah membantu saya ketika susah dulu. Dia sanggup menggadai emas miliknya demi saya.
"Memang tidak terbalas jasanya kepada saya, sahabat ketika senang mudah dicari tetapi sahabat ketika susah, jarang sekali tetapi Nurul Natrah sanggup susah senang bersama," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Pada Sabtu lalu, Nurul Atira memuat naik klip video durasi 2 minit 9 saat di Instagram miliknya menunjukkan wajah ceria Nurul Natrah menerima seutas gelang emas berharga RM11,000 ketika menjamu hidangan 'shell out'.
Video itu memaparkan gelang berkenaan dibalut plastik diletakkan di bawah timbunan hidangan laut sebelum Nurul Natrah menjumpai satu bungkusan disangka jala dalam makanan berkenaan.
Namun Nurul Natrah mula menyedari kelainan pada bungkusan tersebut sebelum mengetahui ia adalah seutas gelang emas.
Teruja melihat gelang emas, Nurul Natrah terus tersenyum dan mencium beberapa kali gelang tersebut sebagai tanda penghargaan sebelum memeluk Nurul Atira.
Video berkenaan menarik perhatian warga maya hingga tular di laman sosial dan meraih lebih 30,462 tontonan.
Dalam pada itu, Nurul Atira merupakan seorang usahawan minuman kesihatan mengucapkan syukur kerana ALLAH SWT telah menganugerahkan sahabat yang baik untuk dirinya.
"Alhamdulillah ALLAH hadirkan orang-orang yang baik untuk saya dan kepada warga maya yang memberi komen positif, saya ucapkan terima kasih," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!