Ajaran sesat berlaku apabila tolak sunah Nabi
SHAH ALAM - Sesuatu ajaran sesat itu berlaku adalah apabila seseorang itu menolak sunah iaitu semua ajaran Nabi Muhammad SAW.
Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Bahagian Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Aizam Mas’od berkata, sunah itulah yang menterjemahkan Islam.
Menurut beliau, kebanyakan ajaran sesat tidak menolak al-Quran walaupun mentakwilkannya dengan cara yang salah.
“Apabila mereka menolak al-Quran, mereka tidak ada sumber lain dan tidak ada orang yang akan percaya. Sebab itu Islam ini mahal kerana al-Quran itu sendiri.
“Jadi golongan ini akan tolak sunah sebab sunah menafsir serta menterjemahkan al-Quran. Jadi mereka menganggap al-Quran ini diturunkan berserakan atas muka bumi dan dikutip, dibaca, ditafsir serta diamalkan sendiri mengikut cara pemikiran masing-masing.
“Itu cara mereka faham sebenarnya. Sebab itu bila kita menyebut golongan yang benar itu adalah ahli sunah kerana sifatnya jamaa’ah. Sebab itu juga Islam itu sampai kepada kita generasi ke generasi,” katanya pada program Wacana Al-Quran Siri-91 bertajuk ‘Ajaran Sesat: Akibat Mempertuhankan Akal’ yang bersiaran secara langsung dari Studio F Kumpulan Karangkraf di sini pada Isnin.
Program diskusi agama itu turut menampilkan Penolong Pengarah Advokasi Akidah dan Perundangan Islam Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Firdaus Subhi sebagai panelis.
Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Farul Ismail bertindak selaku moderator dan qari jemputan, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman memperdengarkan bacaan surah Al-Maidah ayat 3.
Mengulas lanjut, Mohd Aizam berkata, dalam surah al-Maidah ayat 3 menjelaskan bahawa sesungguhnya ajaran Islam itu telah lengkap sempurna dan tidak sepatutnya dikurangkan dan ditokok tambah.
“Prinsip dan asasnya telah diletakkan oleh Nabi Muhammad SAW dan sebarang tokok tambah boleh menyebabkan kesesatan. Kalau ikut apa yang diajar Rasulullah SAW dalam al-Quran dan as-Sunnah, atau kita pegang serta ikut kedua-duanya ini, kita tidak akan sesat.
“Agama Islam ini mudah kerana asas agama itu mengikut. Golongan yang berjaya adalah golongan yang mengikuti al-Quran dan as-Sunnah. Jadi kewajipan kita kita untuk ikut seperti diajar oleh ALLAH mengikut disiplin ilmu,” katanya.
Tambah Mohd Aizam, bagi membendung penyebaran ajaran sesat, masyarakat disaran supaya memantapkan ilmu agama dalam diri masing-masing.
“Di peringkat individu asas, Islam perlu mantap. Sebab itu kena belajar ilmu agama Islam ini sampai bila-bila. Bukan sekadar pandai baca surah Yasin dan As-Sajdah sahaja.
“Begitu juga dengan keluarga, kena bina keluarga yang betul-betul Rabbani, yang kenal agama. Cakna juga kepada isteri dan anak-anak, pastikan dapat tarbiah agama yang mencukupi dalam keluarga.
“Kena juga ambil tahu yang batil, apa yang difatwa serta digazetkan oleh jabatan agama. Kena ambil berat semua perkara itu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!