Mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi dalam masa terdekat: Azmin

Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
A
A
A

PETALING JAYA - Mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi akan diadakan dalam tempoh terdekat ini, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata mesyuarat pertama itu penting memandangkan banyak perkara mendesak untuk kepentingan rakyat perlu dibincangkan dengan segera.

"Saya tak tahu (tarikhnya) tetapi dalam masa terdekat. PM (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) merasakan majlis itu perlu berjumpa segera supaya kita dapat bincangkan perkara yang perlu dibincangkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Sempena Tahun Baharu Cina Persekutuan Persatuan-Persatuan Hokkien Malaysia. di sini, hari ini.

Menurut Mohamed Azmin Majlis Tindakan Ekonomi akan turut bekerjasama dengan semua pemegang kepentingan termasuk anak muda, golongan wanita dan komuniti usahawan.

"Ini hanyalah majlis kecil untuk mengumpulkan semua maklumat daripada pemegang kepentingan. Kita harus memberi peluang kepada mereka (majlis) untuk mengadakan mesyuarat pertama bagi menetapkan parameter dan selepas itu kita akan bertemu dan berbincang dengan pemegang kepentingan dan kita akan lihat bagaimana kita boleh bekerjasama,” katanya.

Semalam Pejabat Perdana Menteri mengumumkan penubuhan majlis tersebut yang akan bertindak untuk meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi dan kewangan serta kebajikan rakyat.

Matlamat utama majlis yang akan dipengerusikan perdana menteri dan dianggotai 16 individu yang berpengaruh itu adalah untuk merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan, pengagihan kekayaan yang saksama, dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Antara tokoh yang menganggotai majlis tersebut ialah bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram dan tokoh perbankan, Tan Sri Tay Ah Lek. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!