Pengasas aplikasi 'Sugarbook' dituduh esok
SHAH ALAM - Pengasas aplikasi temu janji Sugarbook akan dituduh di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Rabu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, Pengarah Pendakwaan Selangor bersetuju untuk menuduh suspek di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.
"Pertuduhan akan dijalankan di Mahkamah Majistret Shah Alam pada jam 9 pagi, Rabu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Suspek berusia 34 tahun telah direman selama tujuh hari sehingga 24 Februari ini (Rabu) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Perintah reman itu dikeluarkan Hakim, Datuk Noorin Badaruddin selepas menyemak semula permohonan reman oleh pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
Pihak pendakwaan memohon semakan semula keputusan timbalan pendaftar mahkamah yang menolak permohonan reman pada 18 Februari lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pengasas Sugarbook diberkas polis
Mahkamah tolak permohonan tahan reman pengasas aplikasi 'Sugarbook'
Pengasas Sugarbook ditahan semula
Media sebelum ini melaporkan, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan pihak polis untuk menahan reman pengasas aplikasi Sugarbook bagi membantu siasatan dakwaan laman berkenaan digunakan sebagai platform mencari perempuan simpanan.
Lelaki berasal dari Gelugor, Pulau Pinang itu ditahan pada 4.30 petang, 17 Februari lalu di ibu negara.
Baru-baru ini media melaporkan Malaysia diletakkan pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan 'sugar daddy' paling ramai melalui aplikasi Sugarbook yang menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai 'sugar baby'.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!