Ke mana perginya semangat Melayu?

A
A
A

SEMANGAT menurut definasi kamus ialah roh, perasaan hati dan jiwa, atau kemahuan untuk melakukan sesuatu. Saya hendak menyentuh semangat orang Melayu yang naik turun; bersemangat dan berapi-api tetapi tak lama kemudian dingin, beku dan kaku.

Semangat orang Melayu lazimnya terlahir secara berkumpulan. Jarang kita lihat orang Melayu bersemangat secara individu untuk mencapai sesuatu. Jika ada pun individu yang bersemangat dalam sejarah, kita dapati contohnya Allahyarham Leftenan Adnan yang mempertahankan nyawanya di Pasir Panjang, Singapura daripada tentera Jepun.

Individu lain yang amat kita kenali ialah Datuk Onn Jaafar dan Almarhum Tunku Abdul Rahman; kedua-duanya pemimpin Melayu yang meniupkan semangat Melayu dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

Banyak peristiwa sejarah yang mencatat bahawa orang Melayu akan begitu bersemangat jika mereka menzahirkannya secara berkumpulan. Lihatlah memanifestasi semangat mereka secara massa ketika sama-sama mengangkat senjata menentang komunis dengan pihak askar di era darurat pada tahun 1948-1960.

Kemuncak semangat orang Melayu dapat dilihat apabila mereka bersatu menolak Malayan Union pada 1948.

Tragedi Natrah pada tahun 1950 sekali lagi menampakkan betapa orang Melayu bersemangat menghalang wanita berbangsa Belanda yang dijaga sebagai gadis Islam itu dibawa kembali ke pangkuan ibu bapanya di Belanda.

Seramai 18 orang terbunuh dan 173 orang cedera dalam rusuhan di antara orang Melayu dan tentera British untuk menghalang Natrah menjadi murtad.

Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, semangat orang Melayu untuk bersatu menentang apa yang dianggap mereka sebagai ancaman telah mula kendur. Kerajaan diperintah oleh parti Perikatan yang ditunjangi kepimpinan Melayu menjadikan orang Melayu kian tenang. Mereka yakin pemimpin mereka boleh menjaga mereka dan hak-hak mereka. Orang Melayu relaks sehinggalah berlaku peristiwa 13 Mei 1969.

Artikel Berkaitan:

Tragedi itu dikaitkan dengan keputusan PRU 1969 bila kerajaan Perikatan yang dianggotai parti UMNO, MCA dan MIC gagal memperoleh majoriti dua pertiga kerusi Parlimen. Keceluparan kata dan aksi yang memprovok oleh pihak yang sengaja mencari fasal telah menyakitkan hati orang Melayu hingga terjadinya rusuhan antara kaum.

Darurat diisytihar dan Majlis Gerakan Negara (Mageran) diberi kuasa mentadbir negara dari tahun 1969 hingga 1971. Negara tenang kembali dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancar pada 1972. DEB dengan dasar membasmi kemiskinan dan menyusun masyarakat memberi fokus kepada pihak kerajaan membantu orang Melayu dari segi ekonomi. Orang Melayu tenang kembali dan berasa dilindungi oleh pemerintah Melayu.

Kekuasaan politik telah menjadi benteng yang paling ampuh untuk mempertahankan kepentingan Melayu. Malangnya, itulah satu-satunya benteng yang ada. Dan benteng politik mula terhakis pada PRU12.

Politik menyatukan Melayu, politik juga yang memecahkan mereka. PRU14 pada 2018 dan keputusannya semakin memisahkan bila mana parti-parti Melayu berada di dua pihak pemerintah dan pembangkang. Muncul isu anti-ICERD pada Disember 2018 dan orang Melayu mampu bersatu kembali dalam perhimpunan aman manusia yang terbesar dalam sejarah Kuala Lumpur. Tetapi kemudian semangat Melayu carca merba semula.

Mengapakah semangat Melayu lebih banyak menurun dari meningkat khususnya setelah kita merdeka? Pada saya ia adalah kerana semangat Melayu berpaksikan politik. Tanpa politik, orang Melayu akan semangat. Faktor ekonomi seperti DEB tidak pernah menjadikan Melayu bersemangat.

Soalnya siapakah yang sentiasa mengacau perasaan kesatuan ini? Tangan ghaib atau orang politik sendiri?

Banyak peristiwa sejarah yang mencatat bahawa orang Melayu akan begitu bersemangat jika mereka menzahirkannya secara berkumpulan.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!