Buka langkah baharu BN 2.0

A
A
A

KETAKUTAN rakyat Malaysia bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal dimenangi oleh kerajaan yang 95 peratus Melayu patut dilihat sebagai suatu peluang keemasan oleh UMNO, MCA dan MIC.

Sebelum ini, UMNO, parti Melayu terbesar yang gagah berani mengaum di sana sini, terpaksa mengikat pertunangan dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN). Setelah perjanjian ditandatangani, malangnya tunangnya dah dilarikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bergaya dengan kuasa, jawatan dan projek lumayan.

UMNO kini merayu-rayu tunangnya kembali ke pangkuan mereka tetapi tunang itu tidak pandang pasangan yang tak berapa kuat. Dalam artikel ini, saya akan mencadangkan bagaimana UMNO boleh mengembalikan maruah dan sejarah Gagasan BN bersama rakan MCA dan MIC sebagai blok ketiga.

Kalau dulu formula UMNO adalah meraih dan bergantung harap kepada sokongan Melayu 100 peratus maka kini taktik itu dah disambar orang. Saya telah mencadangkan supaya MCA mengubah strategi politik mereka daripada hanya menjadi pejuang orang Cina kepada parti politik yang mempunyai tokoh-tokoh Cina dan Melayu yang faham tentang budaya, ketamadunan dan nilai-nilai Melayu serta Islam.

Saya telah memberi pandangan bahawa MCA perlu menghantar barisan tokoh muda politik untuk belajar tentang ketamadunan Melayu dan Islam serta menjadi saudara angkat kepada tokoh-tokoh Melayu yang berjiwa Malaysia dan berjiwa Islam reformis awal dan bukannya Islam Konservatif.

UMNO perlu bawa gagasan baharu Malaysia yang diterajui perwakilan kesemua kaum dan bukannya keterlaluan dominasinya dengan satu kaum sahaja. Persaudaraan dengan kesemua kaum perlu diperkemaskan dengan program kepimpinan yang membawa kesemua perwakilan parti-parti Sabah, Sarawak dan parti kaum seperti MCA dan MIC.

Pertama sekali, UMNO perlu membuang tabiat jijik menggunakan perkataan ‘pendatang’ dan mengangkat konsep ‘ketuanan Malaysia’ dan bukannya ketuanan sesuatu kaum.

Naratif ini perlu diungkapkan bersama rangka falsafah Islam dan mungkin juga ini akan memberi peluang kepada Amanah untuk masuk Gagasan BN 2.0. Biarlah PKR dan DAP jadi blok politik lain dan berjuanglah dengan apa cara yang mereka selesa. Naratif baharu Malaysia untuk semua dalam rangka Islam progresif boleh menarik NGO-NGO Islam mengimbangi Pas dalam pilihan raya nanti.

Artikel Berkaitan:

UMNO juga perlu mengetengahkan pemimpin muda sebagai frontliners dan rehatkan pemimpin veteran yang masih berhadapan dengan kes-kes mahkamah. Parti Pejuang dan Warisan boleh diajak bersama dalam blok ini tanpa ‘orang tua itu’ dan kalau mereka tolak biarlah mereka ke blok PKR-DAP.

Pemimpin baharu UMNO harus mendekati pimpinan komuniti semua bangsa dan bersedia berjumpa di gereja, kuil dan gurdwara. Inilah Malaysia yang sebenarnya.

Ramadan sudah dekat dan sesi buka puasa di semua rumah ibadat perlu diadakan seperti apa yang dilakukan di Emiriah Arab Bersatu (UAE). Saya menonton youtuber favourite saya, Khalid-al-Ameri, yang menunjukkan bagaimana sebuah Gurdwara menyediakan makanan untuk berbuka puasa dan menyediakan tempat untuk solat Maghrib.

Gagasan parti satu kaum yang dilaungkan oleh sesetengah ahli politik adalah racun dalam konsep perkongsian kuasa di Malaysia. Teori bahawa keamanan di Malaysia hanya boleh terkawal jika hanya satu kaum sahaja memerintah segala-galanya bersandarkan konsep Islam sempit.

Akhir sekali, UMNO perlu menjadi saudara tua yang tidak tamak dan boleh membayangkan bahawa pembahagian kerusi Kabinet utama 40 peratus kepada Sabah dan Sarawak.

Firasat saya pada PRU15 PH akan kalah teruk. Dulu mereka menang sebab Bersatu jadi pemecah undi Melayu dan kini mereka dah bukan jadi kawan.

Rakyat Malaysia perlu bersikap terbuka dan pragmatik. Rakyat kena fikir secara strategis dan jangan menaruh harapan hanya kepada satu blok politik.

Kalau UMNO, MCA dan MIC boleh berubah, maka strategi Tanjung Piai tidak mustahil mampu menumbangkan parti lain yang berdasarkan perkauman dominan.

* Prof Dr. Mohd Tajuddin Mohd Rasdi ialah Profesor Seni Bina di UCSI University

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!