Pengayuh beca di Pasar Payang cuba bertahan

Pengayuh beca Mohd Nor Mamat, 65, (kanan), Abdul Wahab Abdul Rahman, 76, dan Asmad Mohamad, 73, berbincang sesuatu sesama mereka mengenai masa depan mereka ketika ditemui di Pasar Besar Kedai Payang pada Selasa. - Foto Bernama
Pengayuh beca Mohd Nor Mamat, 65, (kanan), Abdul Wahab Abdul Rahman, 76, dan Asmad Mohamad, 73, berbincang sesuatu sesama mereka mengenai masa depan mereka ketika ditemui di Pasar Besar Kedai Payang pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pernah seminggu tanpa memperoleh walau seorang pun pelanggan, tiada pendapatan dan hampir berputus asa, namun jiwa sebagai pengayuh beca yang sudah sebati membuatkan ada yang terus bertahan.

Nasib pengayuh beca di sekitar Pasar Payang bagaikan masih tiada penghujung apatah lagi negara masih berperang dengan wabak Covid-19 yang menghalang industri pelancongan aktif seperti dulu.

Abdul Wahab Abdul Rahman, 76, yang telah mengayuh beca sejak berusia 20 tahun pada era 70-an berkata, suatu ketika dulu ada beribu beca di situ namun berubah wajah seiring pembangunan dan teknologi.

"Sejak tahun lepas hanya ada sekitar 18 orang sahaja pengayuh beca yang masih bertahan. Tidak perlu dikira pendapatan bulanan, harian pun belum tentu. Saya sendiri sejak minggu lalu tidak mempunyai pendapatan.

"Jika ikutkan kudrat memang tidak boleh pergi jauh seperti dulu tetapi ada juga pelancong minta bergerak sekitar Pasar Payang sahaja. Ada yang bagi RM5... ada yang lebih, mungkin sebagai sedekah," katanya ketika ditemui Bernama selepas program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu Berkat (Sektor Pelancongan) kepada pengayuh beca dan pemandu bot pelancong di sini pada Selasa.

Selain itu, Mohd Nor Mamat, 65, berkata, beliau juga mengalami nasib yang sama seperti pengayuh beca yang lain, namun masih tetap mahu meneruskan pekerjaan itu kerana ia sahaja pekerjaan yang dilakukan sejak dahulu.

"Saya dan rakan-rakan telah berada di Pasar Payang sejak usia muda dan anak-anak dibesarkan daripada hasil titik peluh mengayuh... agak mustahil untuk melupakan pekerjaan ini. Saya masih menaruh harapan agar beca tidak pupus begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman berkata, pihaknya akan membuat perancangan teliti dalam memastikan beca dapat menarik perhatian pelancong dan golongan muda dapat meneruskan tradisi itu di sekitar Pasar Payang.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dalam situasi terkini akibat Covid-19, kerajaan negeri perlu memainkan peranan sebagai ‘oksigen' kepada pengayuh beca agar mereka dapat meneruskan kehidupan.

Berikutan itu, pada Selasa pihaknya menyalurkan bantuan sebanyak RM400 kepada setiap pengayuh beca dan mereka turut disaran berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat agar mendapat pembelaan sewajarnya.

Dalam perkembangan lain, Ariffin berkata, berdasarkan Data Kadar Purata Penginapan Pelancong yang dikeluarkan oleh Persatuan Hotel Malaysia, bermula Januari hingga November tahun lepas, Terengganu telah berada di tangga keempat keseluruhan Kadar Purata Penginapan Pelancong berbanding tangga ke-11 pada 2019.

"Ia menunjukkan peningkatan yang sangat baik di mana Terengganu sentiasa berada di lima tangga terbaik keseluruhan dan pernah berada di tangga kedua keseluruhan pada bulan Julai dan September," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!