Ahmad Samsuri individu pertama disuntik vaksin Covid-19 di Terengganu
KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 di negeri ini yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini.
Beliau yang mengesahkan perkara itu berkata, vaksin Covid-19 akan tiba di negeri ini pada Khamis.
Menurutnya, pengurusan vaksin itu dibuat secara bersama antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan Kementerian Kesihatan.
"Suntikan pertama kepada mereka yang terpilih dan barisan hadapan akan diadakan pada Jumaat ini, yang mana suntikan kepada barisan hadapan disusun mengikut daerah.
"Saya dimaklumkan bahawa saya akan menjadi orang pertama yang menerima suntikan ini. Untuk fasa pertama, seramai 15,000 orang akan menerima suntikan vaksin dan susunan pemvaksinan ini dilakukan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman pada Rabu.
Mengulas mengenai tempat penyimpanan vaksin, Ahmad Samsuri berkata, ia bukan di bawah kuasa kerajaan negeri sebaliknya diuruskan oleh jawatankuasa yang dibentuk.
Katanya, kerajaan negeri hanya menyediakan serta memastikan aspek keselamatan dan segala keperluan infrastruktur diselesaikan.
"Sebenarnya vaksin sepatutnya tiba pada 28 Februari di Terengganu tapi diawalkan pada Khamis. Kita masih menunggu maklumat lanjut tentangnya dan lokasi suntikan vaksin yang akan dibuat.
"Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan menerima suntikan vaksin dan akan diuruskan bersama barisan hadapan di tempat masing-masing memandangkan mereka terlibat untuk keluar bersama dan berjumpa rakyat," katanya.
Kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 telah tiba di negara ini pada 21 Februari lalu.
Vaksin Pfizer-BioNTech itu diterbangkan menggunakan pesawat Airbus 330-300 dikendalikan MABkargo Sdn Bhd (MASKargo) dari kilang Pfizer di Belgium.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara berfasa akan bermula pada Rabu dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan bersama-sama petugas barisan hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!