Kereta terhumban ke dalam Sungai Sarawak
KUCHING - [DIKEMASKINI] Seorang wanita warga emas maut selepas keretanya terhumban ke dalam Sungai Sarawak berdekatan Jambatan Gantung Satok di sini pada Rabu.
Mayat, Ng Yian Hong, 70, dikeluarkan dari kereta Perodua Kenari yang tenggelam di dalam sungai itu pada jam 12.57 tengah hari oleh dua penyelam dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang, kira-kira dua jam setengah selepas Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak menerima laporan tentang kejadian.
Menurut jurucakap PGO, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira jam 10.30 pagi sebelum sebuah jentera bersama 14 anggota daripada BBP Pandungan dikejarkan ke lokasi.
Satu klip video memaparkan sebuah kereta berwarna perak dalam keadaan separuh terapung dihampiri sebuah perahu dinaiki dua individu turut tular menerusi media sosial.
Ketika ditemui pemberita kemudian, seorang daripada individu dalam klip video itu yang hanya mahu dikenali sebagai Bonnie, berkata, dia ternampak kereta tersebut ketika sedang bertugas membersihkan sampah-sarap di sungai berkenaan.
Menurut Bonnie, dia dan rakannya bergegas untuk menyelamatkan mangsa, namun gagal kerana kesemua pintu kenderaan itu dalam keadaan berkunci.
“Saya hanya melihat mangsa memberikan isyarat melarang saya membantunya, saya juga tidak boleh berbuat apa-apa kerana tiada apa-apa peralatan untuk memecahkan cermin tingkap kereta itu.
“Kami juga berusaha untuk menarik kenderaan itu, namun tali yang digunakan putus dan hanya mampu melihat kenderaan itu tenggelam,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!