'Kerajaan, rakyat masih belajar hadapi situasi Covid-19'
SHAH ALAM – [DIKEMASKINI] Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berubah-ubah mengikut peredaran waktu dan situasi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin berkata, ini disebabkan kerajaan dan rakyat masih belajar untuk berdepan pandemik Covid-19.
“Dalam proses membuat keputusan, saya percaya dan yakin mereka mempertimbangkan antara risiko serta manfaat. Jika risiko lebih besar tentu mereka tidak laksanakan. Kerajaan sedang belajar, rakyat sedang belajar, malah kita semua juga sedang belajar.
“Kita perlu ingat, dulu dalam keadaan tanpa krisis begini pun kerajaan dan pentadbiran sebelum ini biasa menukar polisi serta dan dasar apabila dikritik,” katanya ketika Program Berani Semuka bertajuk ‘PKP, Rakyat Terabai? YB Sila Jawab’ di Karangkraf di sini pada Selasa.
Program dikendalikan Saiful Nizam Ismail itu turut menampilkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abd Rahman sebagai panelis.
Afif menjelaskan, proses membuat dasar tidak hanya berlaku dalam mesyuarat Kabinet atau mesyuarat exco kerajaan negeri tetapi keputusan juga perlu melalui jawatankuasa-jawatankuasa teknikal.
“Mesyuarat sidang khas MKN sahaja berjalan sebanyak 62 kali pada 2020 dan17 kali pada 2021. Mesyuarat khas menteri-menteri pula sebanyak 85 kali dibuat pada 2020.
“Begitu juga jawatankuasa kumpulan kerja teknikal dan perlaksanaan PKP yang dianggotai pengarah-pengarah agensi serta kementerian bersidang lebih 80 kali pada 2020,” katanya.
Menurutnya, pelaksanaan SOP PKP diakui berdepan beberapa masalah, namun tidak menyebabkan rakyat terabai.
Katanya, pandemik Covid-19 menyaksikan bagaimana seluruh jentera kerajaan dan rakyat menyesuaikan diri kepada SOP-SOP dan normal baharu namun masih atas pertimbangan yang sewajarnya.
“Kita akui ada masalah dalam perlaksanaan SOP ini, kita tidak sempurna tetapi kita kerajaan yang 'fleksible', kita tahu, dengar dan respons kepada rakyat.
“Kerana itu saya tak setuju kata PKP ini, rakyat terabai sebab rakyat terbela kerana mereka boleh bersuara seluas-luasnya menyampaikan hasrat dan pandangan masing-masing, kritikan mereka..ahli Parlimen juga boleh bersuara setiap hari dan kerajaan beri respons,” katanya.
Dalam pada itu, Afif berkata, isu SOP bagi lawatan delegasi kerajaan dan ahli perniagaan ke luar negara bukan ‘double standard’ sebaliknya adalah pendekatan yang praktikal bagi mengimbangi antara melindungi nyawa rakyat dan membuka semula sektor ekonomi supaya ekonomi kembali pulih.
Beliau pada masa sama mengakui berlaku pelanggaran SOP melibatkan menteri dan ahli politik.
“Ini bermakna ahli politik juga manusia, kita semua kena ikut kepada SOP ditetapkan. Memang ada yang sedang berhadapan dengan tindakan undang-undang.
"Bahkan ada yang diambil tindakan sebagai contoh Timbalan Menteri Kesihatan. Jadi biarlah proses undang-undang berjalan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!