Jumpa bom: Penyewa rumah terakhir ditahan

No Image Caption
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang pekerja kilang perabot ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan sebutir bom tangan dan senjata api di sebuah rumah di Taman Bukit Indah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, lelaki itu ditahan di sebuah kedai aksesori kereta di Parit Buntar kira-kira jam 5 petang.

Menurutnya, suspek yang berusia 42 tahun itu mempunyai 16 rekod jenayah melibatkan 12 kes dadah, tiga kes judi dan satu kes mendatangkan kecederaan.

"Kita turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Huawei Nova 2i dan sebuah pasport Malaysia daripada suspek. Sebelum ini, siasatan lanjut mendapati suspek adalah penyewa terakhir rumah tersebut.

"Namun hasil soal siat, suspek tidak mengaku terlibat dalam kejadian tersebut. Suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga 18 Februari ini," katanya ketika dihubungi tadi.

Semalam, sebutir bom tangan, dua pucuk pistol dan 349 butir peluru ditemui di sebuah rumah dan disembunyikan pada kepala katil dalam sebuah bilik di bahagian atas rumah dua tingkat berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bom tangan, pistol dan beratus peluru ditemui dalam kepala katil

Pemeriksaan itu dibuat susulan serbuan dilakukan pada Disember tahun lalu di rumah yang dipercayai dijadikan makmal memproses dadah.

Artikel Berkaitan:

Rumah berkenaan ditinggalkan oleh penyewanya kira-kira enam bulan sebelum serbuan dibuat dengan penemuan 20,470 pil ekstasi, 15kg serbuk dipercayai kafien dan pelbagai peralatan memproses dadah.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!