1.76 juta penduduk Kedah divaksin bermula 28 Februari
ALOR SETAR - Dianggarkan seramai 1.76 juta penduduk di Kedah akan menerima suntikan vaksin Covid-19 bermula 28 Februari ini hingga Februari 2022.
Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, jumlah itu merangkumi 80 peratus penduduk negeri ini selain pekerja bukan warganegara yang berada di Kedah untuk divaksinasikan.
Menurutnya, bagi fasa pertama, Kedah diperuntukkan sebanyak 50,310 dos yang diterima secara berperingkat bermula dari 28 Februari hingga akhir April.
“Sebanyak 25,155 penerima vaksin terdiri daripada petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan swasta, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), kastam, imigresen, penjara, bomba dan lain lain kategori petugas barisan hadapan yang dikenalpasti akan diberikan suntikan fasa pertama ini,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Menurutnya, fasa kedua pula akan bermula pada April hingga Ogos dengan menyasarkan kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit jantung, diabetes, darah tinggi, pernafasan dan sebagainya.
"Fasa ketiga bermula pada Mei hingga Februari 2022 melibatkan semua penduduk Kedah yang berumur 18 tahun ke atas dan pekerja bukan warganegara,” katanya.
Dr Mohd Fikri berkata, Kedah menerima vaksin Pfizer fasa pertama pada Rabu dan ditempatkan di tiga Pusat Penyimpanan Vaksin (PSV) terpilih iaitu di fasiliti yang dilengkapi peralatan dan persekitaran selamat di daerah Kota Setar, Kuala Muda dan Langkawi.
“Vaksin yang disimpan di PSV ini akan diedarkan kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mengikut keperluan pusat tersebut berdasarkan jadual suntikan yang disediakan oleh setiap PPV,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 57 PPV telah disenaraikan di negeri ini di mana 46 daripadanya adalah di fasiliti kesihatan KKM manakala selebihnya di agensi-agensi kerajaan dan dewan yang dikenalpasti.
“Seramai 768 petugas kesihatan di negeri Kedah telah dilatih sebagai penyuntik (vaccinator) untuk memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan bilangan ini akan ditambah dalam fasa vaksinasi berikutnya apabila bilangan mereka yang perlu disuntik bertambah,” katanya.
Dr Mohd Fikri berkata, pelaksanaan vaksinasi Covid-19 ini merupakan langkah tambahan dan jangka masa panjang bagi memperkukuhkan lagi program pencegahan kesihatan awam dalam memerangi pandemik itu secara lebih berkesan.
“Ini akan memberi ruang melonjakkan kembali sektor sosial dan ekonomi setelah mengalami kemelesetan akibat pandemik Covid-19,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya menyarankan masyarakat agar terus mengamalkan normaL baharu dan mengambil langkah pencegahan kesihatan awam bagi memastikan rantaian penularan Covid-19 dapat diputuskan.
“Bersamalah kita melindungi diri sendiri, orang tersayang, rakan sekerja dan seluruh komuniti,” katanya.
Penghantaran pertama vaksin Covid-19 mRNA dari Syarikat Farmaseutikal Pfizer ini dikeluarkan di Belgium dan selamat tiba di Malaysia pada Ahad.
Pada Rabu, pelancaran penyuntikan vaksin dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan penerima suntikan dos pertama vaksin di Institut Kesihatan Negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!