Tidak sakit, macam suntikan biasa: Muhyiddin

Muhyiddin menunjukkan playcard 'Lindungi Diri, Lindungi Semua' dan borang persetujuan suntikan COVID-19 selepas menerima suntikan tersebut di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya, Presint 11 pada Rabu. - Foto Bernama
Muhyiddin menunjukkan playcard 'Lindungi Diri, Lindungi Semua' dan borang persetujuan suntikan COVID-19 selepas menerima suntikan tersebut di Pusat Kesihatan Daerah Putrajaya, Presint 11 pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] "Tidak sakit pun, macam suntikan biasa," demikian kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin memberi reaksi sedemikian ketika ditanya pihak media sebaik selesai menerima suntikan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada Rabu.

Dalam masa sama, Muhyiddin turut memberi jaminan bahawa vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech yang diterimanya itu selamat dan berkesan.

"Kalau tengok keadaan saya setakat ini, alhamdulillah.

"Jadi saya hendak merayu kepada seluruh rakyat Malaysia dan mereka yang tinggal di Malaysia untuk tampil ke depan dapatkan suntikan vaksin Covid-19 secara percuma dengan mendaftar di dalam MySejahtera supaya dapat ditentukan giliran masing-masing," katanya.

Katanya, beliau dijadualkan mengambil suntikan vaksin dos kedua pada 17 Mac ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau yakin dan percaya usaha yang dilakukan kerajaan dengan memberikan suntikan vaksin kepada penduduk di negara ini akan dapat memutuskan rantaian wabak tersebut.

"Saya ingin sekali lagi menyeru supaya kita sama-sama mendokong usaha supaya negara kita dalam satu tempoh masa yang singkat akan bebas daripada wabak Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Turut menerima suntikan pertama dan merupakan antara yang terawal menerima vaksinasi dalam program imunisasi itu ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!