Polis senaraikan 3,000 nama penerima awal
IPOH - Polis Perak menyenaraikan 3,000 nama sebagai penerima awal suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech yang bermula Isnin depan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya masih belum menerima pengesahan senarai nama penerima daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu.
“Kontinjen Perak mempunyai 10,924 pegawai dan anggota tetapi untuk fasa pertama ini, kita serahkan 3,000 nama kepada pihak KKM.
“Kita menunggu jawapan daripada pihak KKM siapa yang akan terima (vaksin). Senarai itu kita masih belum dapat lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan ketibaan lori yang membawa dos vaksin Covid-19 di Plaza Tol Jelapang di sini pada Rabu.
Menurutnya, polis turut melakukan kawalan di empat Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di bawah pemantauan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, Ipoh, Manjung dan Taiping.
“Kita tetapkan anggota daripada unit peronda polis (MPV) dan unit rondaan bermotosikal (URB) dalam memastikan vaksin berada dalam keadaan selamat.
“Malah pada 1 Mac nanti, kita akan adakan kawalan ketat daripada PSV ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV). Fasa pertama program melibatkan 33,000 petugas barisan hadapan,” katanya.
Sinar Harian melaporkan Perak menerima 79,560 dos vaksin Covid-19 pada fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, seramai 33,503 petugas barisan hadapan akan menerima suntikan vaksin termasuk Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).
Sebanyak 49 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) disediakan di seluruh negeri termasuk di Stadium Indera Mulia di sini, manakala bagi fasa kedua dan ketiga tambahan lokasi akan dikenal pasti oleh pegawai daerah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!