Aziz Bari beri keterangan lebih satu jam isu darurat, Agong

Abdul Aziz ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Balai Polis Lahat, Ipoh pada Rabu.
Abdul Aziz ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Balai Polis Lahat, Ipoh pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Timbalan Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari pada Rabu hadir memberi keterangan di Balai Polis Lahat, di sini berhubung kenyataan berkaitan darurat dan Yang di-Pertuan Agong yang dibuatnya ketika bersiaran langsung di Facebook, bulan lalu.

Beliau tiba di balai polis berkenaan pada jam 11.45 pagi dan soal siasat selesai kira-kira satu jam 15 minit kemudian.

Ketika ditemui pemberita, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu berkata, beliau memberi kerjasama yang baik kepada polis sepanjang siasatan berkenaan.

Menurutnya, polis memaklumkan bahawa siasatan terbabit ada kena mengena dengan kenyataan darurat dan kaitan kuasa Yang di-Pertuan Agong yang diulasnya dalam Facebook.

"Saya dimaklumkan siasatan telah selesai dan keputusannya terpulang kepada pihak polis sama ada untuk diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara atau sebaliknya, saya akur dan sedia beri kerjasama.

"Setakat ini hanya saya yang dipanggil berkaitan isu ini, yang lain saya tidak tahu tetapi yang pasti siasatan dibuat mengikut Kanun Tatacara Jenayah," katanya.

Beliau berkata, aduan berkaitan isu terbabit mungkin dibuat untuk menyasarkan DAP dan dianggap seperti mahu melagakan parti itu dengan institusi Yang di-Pertuan Agong.

Sedangkan katanya, bahan yang dibuat, berkemungkinan diambil di luar konteks kenyataan sebenar.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin ada pihak yang tidak selesa dengan apa yang saya perkatakan dan cuba jadikannya sebagai satu bahan yang boleh dilaporkan.

"Dengan teknologi zaman sekarang, setiap apa yang diposkan di online, kita tak boleh kawal.

"Siapa yang lihat FB Live saya dari awal akan tahu yang saya sendiri sebutkan jangan sesekali membuat kenyataan yang tidak sesuai atau biadab, jadi takkanlah saya nak buat begitu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!