Imigresen PP selamatkan lima wanita Indonesia
Pengarah JIM Pulau Pinang, Meor Hezbullah Meor Abdul Malik berkata, bertindak hasil risikan dan intipan yang dijalankan sejak sebulan lepas, pihaknya menyerbu serbuan rumah di Butterworth pukul 7.30 pagi semalam dan menahan seorang wanita tempatan berusia 37 tahun dipercayai anggota sindiket.
"Susulan penahanan wanita itu, pasukan penguatkuasa Imigresen Pulau Pinang menyerbu sebuah rumah di Sungai Petani, Kedah dan menahan lelaki berumur 48 tahun yang merupakan dalang utama serta perancang yang menguruskan sindiket berkenaan.
"Berikutan itu, kami berjaya menyelamatkan lima wanita Indonesia berusia 20 hingga 26 tahun yang dieksploitasi untuk bekerja sebagai pembantu rumah harian di sebuah rumah di Butterworth. Ketika itu mereka sedang bersiap untuk dihantar ke tempat kerja iaitu rumah-rumah pelanggan sindiket itu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Meor Hezbullah berkata, wanita yang diselamatkan itu memaklumkan mereka diarahkan bekerja sebagai pembantu rumah harian sehingga 12 jam sehari namun langsung tidak dibayar gaji dan hanya diberikan tempat tinggal serta makanan.
Katanya, semua wanita yang diselamatkan itu masuk ke Malaysia sejak lima bulan lepas dan perlu bekerja setiap hari tanpa cuti malah tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi anggota keluarga mereka.
Mereka dibawa masuk melalui Johor dengan menggunakan pas lawatan sosial sebelum dibawa sebuah rumah di Sungai Petani manakala semua dokumen perjalanan termasuk sijil akademik dan sijil perkahwinan di simpan majikan berkenaan, katanya dan menambah mereka turut diugut sekiranya cuba melarikan diri atau memberitahu sesiapa, semua dokumen perjalanan, barangan peribadi dan sijil-sijil mereka akan dibakar.
Beliau berkata, sindiket yang beroperasi lebih dua tahun itu mampu mengaut keuntungan antara RM10,000 hingga RM15,000 setiap bulan menerusi kegiatan berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan beberapa lagi mangsa mereka yang juga wanita warga Indonesia.
Meor Hezbullah berkata, berikutan penahanan dua rakan kongsi sindiket itu, pihaknya mengeledah tiga buah rumah milik mereka di sekitar Butterworth dan merampas enam pasport milik wanita Indonesia, wang tunai sebanyak RM465, tiga buah telefon bimbit, kad bank, kad kredit serta pelbagai peralatan bagi untuk kerja mencuci rumah dan pejabat.
"Kami turut merampas dua buah kereta iaitu Honda CRV dan Perodua Kenari yang digunakan sindiket itu untuk menghantar serta mengambil wanita Indonesia berkenaan di rumah-rumah pelanggan mereka," katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang mengesan seorang lagi ketua sindiket itu iaitu seorang lelaki tempatan berusia sekitar 40-an yang mempunyai sebuah agensi pekerja warga asing di Pulau Pinang, kerana dipercayai dia menggunakan dokumen dari syarikatnya untuk membawa masuk wanita Indonesia ke sini.
"Semua mangsa yang diselamatkan itu diberi perintah perlindungan Interim manakala dua warga tempatan yang ditahan berkenaan direman serta disiasat menurut Akta Antipermerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan, pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!