Tukar tajuk tak jamin apa-apa
SUNGAI PETANI – Tindakan menukar tajuk teater yang mengundang kontroversi dianggap bukan jaminan menghalang kecenderungan golongan muda terhadap pemahaman seks salah sekali gus menggalakkan pergaulan bebas terus berlaku.
Yang Dipertua Pas Sungai Petani, Ahmad Fadzli Hashim berkata, tindakan pengarah sebuah teater di Pulau Pinang menukar tajuk teater yang dikatakan menyinggung sensitiviti agama dan budaya adalah tidak cukup.
Menurutnya yang juga ADUN Pantai Merdeka, sebarang penganjuran ke atas aktiviti pergaulan tidak sihat mahupun kecenderungan terhadap pemahaman seks yang salah melalui apa-apa penyiaran termasuk teater tidak sepatutnya berlaku.
“Dalam keghairahan penggiat seni mahu mengekspresikan kreativiti mereka sepatutnya perlu lebih peka terhadap sensitiviti agama dan masyarakat kita.
“Yang sepatutnya ditonjolkan ialah nilai-nilai murni dalam masyarakat bukanlah sekadar mahu meraih keuntungan dengan menganjurkan apa sahaja penerbitan. Sekiranya dibiarkan, berisiko merosakkan institusi kekeluargaan ke arah pengaruh tidak sihat seperti ini,” katanya.
Ahmad Fadzli berkata, tayangan teater bermula pada Sambutan Hari Kekasih dibimbangi bertujuan menarik golongan muda mudi meraikan pasangan kekasih yang sama sekali tidak dibenarkan dalam Islam.
“Islam sendiri mengharamkan perhubungan kekasih sebaliknya mewajibkan hubungan yang sah melalui ikatan perkahwinan, jadi untuk apa raikan hari kekasih dengan menonton teater,” katanya.
Semalam, Sinar Harian memaparkan permohonan maaf yang dibuat Pengarah dan Penulis Big Nose Production, Fa Abdul selepas menyedari berlaku salah faham berhubung tajuk teater arahannya, ‘Sex In Georgetown City’.
Difahamkan, persembahan teater terdiri daripada 10 sketsa dengan setiap satunya berdurasi selama 8 minit bermula 14 hingga 17 Februari ini akan ditayangkan di Pentas 2, Penangpac, Pulau Pinang.
Fa dalam kenyataan itu menjelaskan persembahan teater tersebut membahaskan isu sosial yang memberi kesan kepada masyarakat dan negara termasuk hubungan antara kaum, perkauman, pedofilia, kahwin bawah umur dan kecurangan.
[ARTIKEL BERKAITAN: Pengarah mohon maaf, tukar tajuk teater]
Dalam pada itu, laporan polis turut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Jelutong dari badan bukan kerajaan termasuk Jaringan Muslimim Pulau Pinang membantah tayangan teater terbabit.
Mereka turut mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof untuk turun ke Pulau Pinang bagi menangani bantahan masyarakat Islam terhadap teater terbabit yang dianggap bertemakan seks selain usaha memartabatkan teater lucah oleh golongan liberal itu mesti dikekang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!