Indeks Harga Pengguna turun 0.2 peratus

Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin
A
A
A

SHAH ALAM - Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Januari lepas mencatat penurunan sebanyak 0.2 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan IHP keseluruhan tersebut adalah disebabkan oleh penurunan indeks pengangkutan iaitu -5.1 peratus; perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-0.7 peratus); pakaian dan kasut (-0.4 peratus) serta restoran dan hotel (- 0.1 peratus) yang menyumbang kepada 44.5 peratus kepada keseluruhan wajaran.

“Daripada 552 item yang diliputi di dalam IHP, sebanyak 340 item menunjukkan peningkatan pada Januari 2021 berbanding Januari 2020. Sebaliknya, sebanyak 138 item mencatatkan penurunan, manakala 74 item tidak berubah.

“Berdasarkan prestasi 552 item mengikut kategori barangan dan perkhidmatan, barang tidak tahan lama membabitkan 296 item adalah kategori paling banyak mengalami kenaikan harga iaitu 208 item, 71 item menurun dan 17 item tidak berubah berbanding kategori perkhidmatan, barang semi tahan lama dan barang tahan lama,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Uzir bagaimanapun berkata, indeks makanan dan minuman bukan alkohol meningkat sebanyak 1.5 peratus berbanding pada bulan sama tahun sebelumnya.

Katanya, kumpulan itu menyumbang sebanyak 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.

“Selain itu, pelbagai barangan dan perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan sebanyak 1.8 peratus, diikuti minuman alkohol dan tembakau (0.7 peratus); kesihatan (0.7 peratus); hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.2 peratus) dan pendidikan (0.2 peratus),” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, IHP tanpa bahan api turut meningkat 0.5 peratus pada Januari lepas berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali petrol RON95, RON97 dan diesel.

“Purata harga petrol RON95 menunjukkan penurunan pada Januari 2021 iaitu RM1.87 seliter berbanding RM2.08 pada Januari 2020.

“Purata harga petrol RON97 turut menurun kepada RM2.17 seliter berbanding RM2.58, manakala purata diesel pula menurun kepada RM2.04 seliter berbanding RM2.18 pada bulan yang sama tahun sebelumnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, lima negeri menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional iaitu -0.2 peratus pada Januari 2021 berbanding Januari 2020.

Negeri terbabit ialah Terengganu (0.3 peratus), Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (0.2 peratus), Kelantan (0.2 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (0.1 peratus) dan Pahang (0.1 peratus).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!