10 pantai di Pahang alami hakisan serius
KUANTAN - Sebanyak 10 pantai di Pahang mengalami hakisan serius pada kadar antara satu hingga empat meter.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, perkara itu diketahui pihaknya hasil daripada kajian hakisan pantai yang dijalankan Jabatan Pengairan Saliran (JPS) beberapa tahun lalu.
Menurutnya, kawasan pesisiran pantai di Pahang dari sempadan Terengganu hingga ke Johor Bharu dianggarkan sekitar 271 kilometer (km).
"Daripada jumlah itu, kita telah mengesan 63km pantai di Pahang mengalami hakisan pada kadar hakisan antara satu hingga empat meter. Sementara itu, 2.7km dari pantai terbabit pula mengalami hakisan sangat kritikal melebihi empat meter.
"Antara pantai terlibat adalah pantai Kempadang, pantai di Cherating; Balok, Teluk Chempedak, Kampung Sepat Cherok Paloh, Tanjung Batu, Kuala Rompin, Tanjung Gemok dan Kampung Mukut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Beliau berkata, pihaknya akan cuba mengatasi masalah itu bagi mengelakkan hakisan menjadi semakin teruk.
Bagaimanapun katanya, kerajaan Pahang tidak boleh menangani masalah itu secara keseluruhan kerana kawasan pesisir pantai yang luas dan panjang.
"Kami akan utamakan pantai-pantai yang alami hakisan serius terlebih dahulu. Sebagai jalan penyelesaiannya, kami akan membina struktur kawalan hakisan pantai atau 'rock revetment' dengan meletakkan batu di kawasan pantai yang terjejas.
"Langkah itu untuk memastikan ombak besar terutama ketika musim tengkujuh tidak menjejaskan pesisiran pantai daripada terus terhakis," katanya.
Mohd Sharkar berkata, kos untuk kerja-kerja penimbunan batu-batu tersebut dianggarkan kira kira RM10 juta untuk setiap satu km di pantai.
Selain itu, katanya, masalah hakisan pantai itu akan dimaklumkan ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk tindakan selanjutnya.
"Kita harap masalah hakisan pantai ini dapat diatasi segera untuk kepentingan bersama," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Hakisan pantai resahkan penduduk Kempandang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!