Tatap jenazah ayah sebelum jawab soalan SPM

Muhammad Haikal ditenangkan ibunya sebelum masuk ke dewan peperiksaan. -Foto: FB Badariah Mohd Mohaidin
Muhammad Haikal ditenangkan ibunya sebelum masuk ke dewan peperiksaan. -Foto: FB Badariah Mohd Mohaidin
A
A
A

KUALA KANGSAR - Dugaan berat ditanggung seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila diberi kesempatan untuk menatap wajah terakhir jenazah ayahnya sebelum memasuki dewan peperiksaan di sini.

Video pelajar lelaki, Muhammad Haikal Iskandar Zamry, 18, yang sebak ketika van jenazah membawa jenazah ayahnya singgah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Beluru di sini, tular di media sosial sehingga mengundang simpati warganet.

Suasana hiba itu dikongsikan guru kaunseling sekolah berkenaan, Badariah Mohd Mohaidin menerusi Facebooknya.

Menurutnya, jenazah dibawa ke sekolah kerana pelajar itu tidak sempat melawat ayahnya di Hospital Taiping disebabkan perlu menduduki peperiksaan.

“Ayahnya meninggal dunia semalam (Selasa) akibat masalah jantung dan kencing manis setelah dimasukkan ke hospital lebih seminggu lalu.

“Selepas menerima khabar duka itu, dia ada pergi hospital semalam (Selasa) untuk melihat jenazah ayahnya. Tetapi setibanya di sana, dia tidak dibenarkan masuk,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Muhammad Haikal masih bersedih selepas kehilangan ayah tercinta. -Foto: FB Badariah Mohd Mohaidin
Muhammad Haikal masih bersedih selepas kehilangan ayah tercinta. -Foto: FB Badariah Mohd Mohaidin

Badariah berkata, pihak sekolah bagaimanapun membenarkan permintaan keluarganya bagi membolehkan Muhammad Haikal menatap wajah ayahnya sebelum dikebumikan di Kampung Tahan, Sauk kira-kira jam 11.30 pagi.

Artikel Berkaitan:

“Haikal perlu menduduki peperiksaan sehingga petang. Jadi, peluang 15 minit itulah untuk dia melihat jenazah ayahnya sebelum menjawab kertas Sejarah yang bermula jam 10 pagi.

“Ketika waktu rehat, nampak dia menangis dengan tidak lalu makan dan minum. Kita sediakan bilik khas untuknya memandangkan emosinya masih tidak stabil,” katanya.

Menurutnya, pelajar itu merupakan anak sulung yang menjadi sandaran kepada dua adiknya ketika ibunya menjaga ayahnya di hospital sebelum ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!